Bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah menyokong pendekatan Malaysia untuk menggunakan lebih ramai pemain warisan.
Aksi Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menyaksikan Malaysia berjaya melakar kemenangan 4-0 ke atas jaguh Asia Tenggara, Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Bekas pengendali Perak FC ini kembali mengulangkan satu kata-kata oleh bekas jurulatih kebangsaan, Norizan Abu Bakar yang mahu melihat Malaysia menaturalisasikan kapten England, John Terry.
“Ketika Malaysia tewas ketiga-tiga perlawanan Piala Asia 2007 ketika menjadi tuan rumah, ketua jurulatih iaitu Norizan Bakar ada menyebut tentang keperluan untuk menaturalisasikan John Terry jika Malaysia mahu memberikan saingan untuk ke Piala Dunia.
Yusri kini mula memahami senario tersebut setelah melihat aksi 5 pemain warisan baharu Harimau Malaya yang tampil dengan persembahan memberangsangkan pada aksi debut.
“Ketika itu, saya terpinga-pinga kenapa perlu sebegitu tetapi perkara itu terjadi sedikit demi sedikit. Hari ini, saya mula faham. Hari ini, tak terkejut perkara ini berlaku,” katanya kepada Astro Arena.
Beliau bagaimanapun yakin pendekatan ini bakal membuahkan hasil kepada skuad kebangsaan setelah banyak negara Eropah turut menggunakan pendekatan sama untuk meraih kejayaan.
“Saya tahu ada yang suka dan ada yang sebaliknya. Kita lihat, Perancis yang muncul juara dunia pada tahun 1998, berapa ramai pemain warisan dalam pasukan.
“Kini, negara seperti Maghribi dan Jerman juga melakukan perkara tersebut, kenapa tidak Malaysia? Bola sepak merupakan sukan nombor satu di negara ini,” tambahnya.
Malaysai dijangka menerima khabar baharu mengenai pemain warisan pada bulan September ini dalam misi untuk layak ke Piala Asia 2027.