Pemain kelahiran Malaysia-Thailand, Zafuan Azeman menyatakan azam untuk terus berjuang sehabis baik bagi kekal beraksi di luar negara.
Bintang berusia 24 tahun itu kembali menjadi bualan peminat bola sepak tanah air selepas diumumkan sebagai pemain kelab Liga 1 Thailand, Uthai Thani FC.
Zafuan membuat pilihan untuk kembali menyertai Uthai Thani FC yang pernah diwakilinya selama enam bulan pada tahun 2023 sebelum berhijrah ke Perlis United FC.
Dalam satu temu bual bersama wartawan MakanBola, Syafiq Freman, pemain lincah ini mengakui bahawa minit permainan sentiasa menjadi keutamaan buatnya dalam mencari kelab.
“Saya bukan pemain bintang, sebab itu saya sentiasa berusaha setiap masa mendapatkan minit permainan yg cukup untuk saya melangkah ke tahap seterusnya.”
“Kenapa saya cenderung di liga Thailand berbanding liga Malaysia? Sebenarnya saya berdarah campuran Malaysia-Thailand.”
“Ibu saya adalah warganegara Thailand dan saya juga mempunyai kad pengenalan Thailand, jadi jika saya beraksi di liga Thailand, saya dikira sebagai kuota pemain tempatan dan bukan import, ini lebih memudahkan saya beraksi di liga Thailand,” ujarnya kepada MakanBola.
Zafuan mengakui bahawa pemilihan kelab yang tepat adalah menjadi keutamannya dan tidak kisah untuk beraksi di divisyen berapa sekalipun.
Saya tidak pernah memilih utk beraksi dgn pasukan mana. Sama ada liga super, Liga M3, T1, T2 atau T3 sekalipun. Betul saya akan sentiasa kembali beraksi dengan negeri kelahiran saya iaitu Perlis, semasa liga Thailand habis musim.”
“Saya anggap saya tak pernah bercuti kerana saya amat memerlukan minit permainan. Setiap kali saya berpindah kelab, saya sentiasa akan berbincang dengan jurulatih sama ada saya berpeluang berada dalam kesebelasan utama atau lebih baik saya berpindah secara pinjaman atau terus.”
Beliau juga sedar bahawa persaingan di posisinya amat sengit dengan kehadiran pemain tempatan dan import namun mahu terus memberikan yang terbaik buat kelab yang diwakilinya.