Dengan Kelantan FC berdepan pelbagai isu, tidak hairanlah pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham mahu fokus kepada pasukan tersebut. Ini selepas hari ini beliau mengesahkan telah menjual kelab Liga 2 Indonesia, PSPS Riau.
Zamsaham melihat kelab kini di tangan individu berkelayakan yang berupaya merealisasikan kepulangan Askar Bertuah ke Liga 1 Indonesia.
“Saya Norizam Tukiman, dengan ini menyatakan bahwa PSPS Riau FC sudah berpindah tangan, dan orang yang akan menangani tersebut adalah orang yang tepat untuk meneruskan mimpi saya agar PSPS Riau FC kembali ke masa kejayaannya.
“Semua bayaran kerosakkan kerusi stadium dan bayaran-bayaran lain semua sudah dijelaskan melalui lawyer yang sudah dilantik iaitu Pak Effendy Shah Putra,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Zamsaham memohon maaf sekiranya ada kesilapan semasa bergelar pemilik Tapir Andalas. Beliau juga turut menghargai sokongan yang diberi sepanjang bergelar pemilik kelab tersebut.
“Dalam kesempatan ini, saya juga ingin meminta maaf kepada seluruh warga kota Pekanbaru, khususnya kepada penyokong jika ada salah kata dan sikap selama saya menjadi Pemilik PSPS Riau FC.
“Semoga Klub yang saya cintai ini menjadi lebih baik untuk ke depannya. Terima kasih juga untuk seluruh bentuk dukungan yang sudah diberikan kepada saya selama ini,” tambahnya.