Walaupun pasukan Kelantan FC tewas kepada Perak FC 2-1 di Kota Bharu, namun pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan nama Zamsaham menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.
Walau bagaimanapun, beberapa insiden di dalam dan luar padang sedikit sebanyak mencemarkan sukan bolasepak di negara kita. Zamsaham dalam pada masa yang sama sedikit kecewa dengan para pemain Perak yang sengaja melengahkan permainan.
Dalam muatnaik status di laman Facebook beliau, pemilik kelab yang berasal dari Johor itu berharap pasukan Kelantan FC tidak mencontohi pasukan Perak yang berlakon drama dan berguling di atas padang hanya untuk melengahkan perlawanan. Hampir 20 minit permainan dibuang begitu saja.
Namun begitu, status tersebut tidak ,lagi kelihatan di laman Facebook milik Zamsaham dan dipercayai status sudah dibuang. Dalam masa yang sama, Zamsaham berharap penyokong lawan perlu lebih beradab apabila berada di tempat orang.
Dalam perlawanan yang berlangsung petang tadi, Kelantan FC terlebih dahulu di hadapan seawal minit ke-2 menerusi tandukan Jasmir Mehat sebelum Wan Zack menyamakan kedudukan buat Perak dan Kelantan terpaksa akur apabila gol sendiri dari Khairul Helmi membolehkan Perak membawa pulang 3 mata penuh.
Kelantan masih lagi berada di takhta Liga Premier dengan mengumpul 32 mata dan dibezakan 5 mata dengan pasukan di tangga kedua, Johor Darul Ta’zim II (JDT II).