Advertisement
Zaquan Adha & Mahali Jasuli Sertai Barisan Pakar Astro Arena Bagi Liga Malaysia
Liga Super
MakanBola
Haziq / MakanBola

Bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha dan Mahali Jasuli bakal memeriahkan saingan Liga Malaysia musim hadapan dengan menyertai Astro Arena sebagai Pakar Tetamu Liga Malaysia .

Pengumuman ini dibuat menerusi Sidang Media Barisan Pakar Bola Sepak Astro (Liga Malaysia Musim 2024/2025) yang memperkenalkan dua bintang bola sepak tanah air itu pada Khamis.

”Saya mewakili Astro sangat berbangga mempunyai dua ahli baharu yang menyertai warga Astro untuk liputan Liga Malaysia musim depan iaitu saudara Zaquan Adha dan Mahali Jasuli,” umum Nicholas John, ketua bahagian sukan Astro.

Pengalaman kedua-dua bekas pemain pasukan kebangsaan suatu ketika dulu ini pastinya akan membawa kelainan tersendiri dan juga karakter melalui penilaian secara individu.

”Saya sangat teruja sebab saya rasa tahun ini adalah tahun pertama saya beralih kerjaya daripada bidang sukan ke Pakar Tetamu Liga Malaysia. Saya akan kongsikan yang terbaik kepada peminat bola sepak apa yang saya tahu dalam bidang bola sepak,” kata Zaquan dalam sidang media tersebut.

“Saya mengharapkan tunjuk ajar daripada sifu-sifu saya, Razman (Roslan), Safee (Sali) dan abang Hafizal (Hamad) mengenai apa yang saya tidak tahu berkenaan bidang pengacaraan dan saya sangat berterima kasih kepada Astro kerana sudi menerima saya,” tambahnya lagi.

”Ini memang suatu yang baru bagi saya, selama ini saya bermain bola sepak kita akan membuat analisis di tepi padang (sahaja), tapi kali ini berbeza. Kita akan membuat analisis dengan lebih serius di hadapan media. Jadi, ini sesuatu yang baharu,” ujar Mahali dengan terujanya.

Zaquan dan Mahali akan membawa pandangan generasi baru dalam ulasan bola sepak bersama-sama barisan pakar yang lain seperti Safee Sali, Razman Roslan dan juga Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo).

Barisan personaliti utama seperti Hafizal Hamad, Keesh ‘Mat Stat’ dan Ahmed Shahrazad Sani yang menerajui Arena Bola akan diserikan dengan gandingan pakar-pakar yang turut serta menerusi siaran langsung dan perbincangan di studio akan mewarnai kemeriahan yang dipersembahkan oleh Astro Arena.

Astro turut mengumumkan bakal menyiarkan sepuluh perlawanan Pra-Musim Liga Malaysia bermula 22 April sehingga 5 Mei hadapan sebagai aksi pemanas badan sebelum saingan liga bermula.

Liga Malaysia 2024 bakal membuka tirai pada 10 Mei hadapan dengan 13 pasukan bakal berebut bagi menjulang kejuaraan yang diidamkan.