10 Gol Hiasi Pertembungan Blockbuster JDT dan Pahang Rangers di Shah Alam
Futsal
Johor Southern Tigers
Advertisements

Pertembungan blockbuster antara dua pasukan pilihan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2023, JDT dan Pahang Rangers dalam aksi pra-musim menyaksikan 10 gol terhasil, setelah kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 5-5.

Pada satu ketika segalanya nampak mudah bagi Pahang Rangers bimbingan Gerard Casas, apabila mendahului 4-0 di separuh masa pertama.

Khaiyum Khaimi membuka jaringan sebelum tonggak skuad kebangsaan, Ridzwan Bakri menjadikan kedudukan 2-0. Seorang lagi pemain kebangsaan Farhan Khairul Anuar menjaringkan gol ketiga disusuli jaringan keempat oleh Harith Naim Mohd Nasir.

Advertisements

Namun skuad berstatus bintang Harimau Selatan kendalian Miguel Garcia membuktikan reputasi mereka apabila mempamer kebangkitan menakjubkan di separuh masa kedua.

Bekas tonggak Pahang Rangers yang juga Pemain Paling Bernilai MPFL 2022, Abu Haniffa menjaringkan dua gol, manakala Radzwil Ahmad serta Azri Rahman menjaringkan satu gol menjadikan kedudukan 4-4.

Pemain import Pahang Rangers dari Brazil, Matheus Gonzalez kemudiannya mengembalikan kelebihan apabila meledak jaringan kelima namun hasrat pasukan itu mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut dalam perlawanan pra-musim tidak kesampaian apabila JDT berjaya mengikat kedudukan pada penghujung perlawanan menerusi jaringan sendiri Mahadir Harahap.

Advertisements

Saingan MPFL 2023 akan membuka tirai pada minggu depan, dengan Pahang Rangers yang diundi dalam Kumpulan A akan berdepan Pulau Pinang di SUKPA pada 18 Februari manakala JDT yang berada di Kumpulan B pula hanya akan turun pada 25 Februari untuk aksi sulung menentang Shah Alam City.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram