12 Pasukan Liga Super Relevan, Asalkan Kewangan Kelab Stabil – Pekan Ramli
MakanBola
Berita RTM

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli, menganggap jumlah 12 pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super adalah relevan selagi kesemua kelab bertanding berada dalam keadaan stabil dari aspek kewangan dan pengurusan.

Menurut beliau, keutamaan ketika ini bukanlah jumlah pasukan semata-mata, sebaliknya memastikan setiap kelab benar-benar bersedia mengharungi saingan sepanjang musim tanpa berdepan isu-isu yang boleh menjejaskan kredibiliti liga.

“Kalau ada 12 pasukan tetapi kesemuanya tidak bermasalah, itu lebih baik. Tiada gunanya mempunyai jumlah pasukan yang ramai jika akhirnya timbul pelbagai isu seperti tunggakan gaji dan masalah pengurusan yang menjejaskan kualiti pertandingan.

“Kalau contoh ada 10 pasukan atau 8 sekalipun tetapi semua itu stabil dan tiada masalah, liga tetap boleh berjalan dengan baik. Yang penting ialah kelab-kelab itu mampu memenuhi komitmen mereka sepanjang musim.

“Jadi untuk saya, biar sedikit daripada banyak tapi akan timbulkan banyak masalah dan 12 pasukan yang telah diputuskan oleh MFL adalah munasabah selepas melihat banyak faktor”, katanya.

Mengulas pengalaman lalu, Pekan berkata jumlah pasukan yang lebih ramai tidak semestinya menjamin kelancaran liga kerana terdapat beberapa kelab yang akhirnya gagal memenuhi tanggungjawab terhadap pemain dan pegawai.

Menurut beliau, ada dalam kalangan pasukan yang pada awal musim memberikan pelbagai jaminan termasuk mendakwa sudah mempunyai penaja kukuh, namun realitinya janji tersebut tidak dapat ditunaikan.

“Dulu kita pernah ada lebih banyak pasukan, tetapi akhirnya timbul juga pelbagai isu, terutama berkaitan tunggakan gaji. Ada pasukan pada awal musim memberi keyakinan bahawa mereka mempunyai penaja dan sumber kewangan yang mencukupi, tetapi akhirnya ia hanya tinggal janji.

“Kalau bercakap pasal penaja, ada yang daripada sumber dana berpotensi dan dana yang komited, dua perkara ini berbeza. Dan banyak pasukan yang hanya ada sumber dana berpotensi sahaja di mana apa sahaja boleh berlaku sebelum musim tamat, berbeza dengan dana yang komited atau dah disahkan, itu lebih menjamin sampai hujung musim.

“Sebab itu, apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan setiap kelab yang bertanding benar-benar berdaya saing, stabil dari segi kewangan dan mampu menunaikan tanggungjawab mereka sepanjang musim”, tambahnya.

Terdahulu, MFL dalam satu kenyataan telah mengumumkan sebanyak 12 kelab akan bersaing merebut kejuaraan Liga Super 2026-2027 yang bakal membuka tirai pada 21 Ogos ini.

Kelab yang telah mengesahkan penyertaan adalah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC.

Manakala baki satu lagi slot akan diketahui pada 16 Julai 2026 apabila badan bebas First Instance Body (FIB) akan bersidang dalam menentukan status PDRM FC. Kelab itu telah diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai 2026 bagi mengemukakan maklumat tambahan untuk memenuhi keperluan Kriteria Kewangan serta Kriteria Infrastruktur.

Jika PDRM tidak berjaya, Kelantan Red Warrior FC yang menamatkan saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu di tangga ke-4 dilihat berada dikedudukan lebih baik untuk merebut slot itu selain UM Damansara United FC di kedudukan ke-6 dan Bunga Raya FC di tangga ke-12 turut telah mengemukakan permohonan dan penyediaan dokumen untuk beraksi di pentas Liga Super.