Carta 10 penjaring terbanyak Shopee Cup 2024/2025 dihuni oleh 3 pemain bintang dari Terengganu.
Saingan Shopee Cup minggu ke-3 telah berlangsung pada 8 dan 9 Januari lalu dengan menyaksikan nasib yang berbeza dialami oleh dua wakil Malaysia iaitu Terengganu dan KL City.
Terengganu bangkit dari aksi suram di dua perlawanan awal kumpulan apabila membelasah jaguh Myanmar, Shan United 5-0 di Yangon pada Rabu hasil dua jaringan oleh Manuel Ott.
Begitu juga dengan pemain sayap lincah, Akhyar Rashid yang turut meledak dua gol sementara satu lagi jaringan disumbat oleh kapten pasukan, Safawi Rasid menerusi sepakan penalti.
Dua jaringan oleh Manuel Ott di Yangon itu telah meletakkan nama jeneral tengah Filipina itu dalam kelompok 3 penjaring terbanyak Shopee Cup musim ini dengan 4 gol keseluruhan.
Manakala Akhyar Rashid yang ketinggalan satu jaringan di belakang berada di kedudukan ke-4, berkongsi jumlah gol bersama Efrain Rintaro (Shan United) dan Leo Artur (CAHN).
Turut sama berada dalam kelompok 10 penjaring terbanyak adalah bintang Terengganu, Safawi Rasid yang mengumpul dua gol setakat ini dan menghuni tangga ke-7 dalam carta.
Nasib berbeza dialami oleh KL City yang terpaksa akur tewas buat kali pertama dalam kempen Shopee Cup apabila tunduk 2-0 di tangan juara Singapura, Lion City Sailors pada Khamis.
Tandukan kencang oleh Bailey Wright dan penyudah Maxime Lestienne berhasil membuatkan KL City pulang hampa ke ibu kota setelah meraih kemenangan bersih dalam 2 aksi awal.