Skuad Malaysia B-23 bakal berdepan aksi pemanas badan menentang 3 kelab Liga Super.
Ketika ini, skuad bawah 23 tahun negara di bawah bimbingan Nafuzi Zain sedang menjalani The Elite Games melibatkan 26 pemain dalam usaha untuk mencungkil lebih banyak bakat-bakat muda.
The Elite Games ini juga dilihat sebagai salah satu persiapan pasukan B-23 Malaysia sebelum menghadapi Piala Mandiri B-23 ASEAN di Indonesia yang bakal bermula pada 15 Julai ini.
Daripada 26 pemain di kem The Elite Games ini, sekitar 70% pemain sahaja akan kekal selain ditambah kehadiran nama-nama utama yang bakal lapor diri ke sesi latihan B-23 tahun yang seterusnya.
Menurut Nafuzi Zain, kem latihan seterusnya dijangka bakal diadakan selama hampir dua minggu bermula di awal bulan Julai sebelum berlepas ke Indonesia untuk aksi pembukaan.
”Kem seterusnya dijangka pada 1 Julai ini hingga 12 Julai dan keesokan harinya kami bakal ke Jakarta kerana aksi pertama adalah pada 15 Julai,” umum Nafuzi Zain ketika ditemui pada Selasa.
Sebagai persiapan, Nafuzi turut mendedahkan bahawa 3 aksi pemanas badan buat skuad B-23 Malaysia sedang diatur dan diuruskan melibatkan kelab-kelab yang beraksi di Liga Super.
”Dalam perancangan, kita akan adakan 3 perlawanan dengan kelab Liga Super,” jelas jurulatih kelahiran Kelantan ini lagi.
”(Rundingan dengan kelab Liga Super) tengah dalam proses tapi In Shaa Allah semua akan ok.”
”Saya rasa ketiga-tiga kelab Liga Super ini adalah pasukan yang saya pilih,” ujar Nafuzi Zain yang tidak mahu memberi sebarang bayangan lawan dari Liga Super tersebut.
Skuad muda negara bakal memulakan kempen Piala Mandiri B-23 ASEAN menentang Filipina pada 15 Julai hadapan dan akan hadapi Brunei 3 hari kemudian di Stadium Gelora Bung Karno.
Ujian sebenarnya buat pasukan Malaysia B-23 adalah pada aksi terakhir kumpulan A menentang tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai yang dijangka menjadi perlawanan penentuan juara kumpulan.