Jurulatih skuad Malaysia B-23, Nafuzi Zain melihat program The Elite Games yang diadakan ini berjaya menepati objektif.
Seramai 26 orang pemain bawah 23 tahun telah dipanggil oleh Nafuzi Zain untuk menyertai program The Elite Games yang berjalan selama 3 hari bermula pada 23 hingga 25 Jun.
Kemuncak program adalah apabila kesemua 26 pemain ini diberikan peluang bermain dalam aksi tertutup di Stadium Cheras pada Selasa untuk dinilai oleh barisan kejurulatihan skuad B-23 negara.
Menurut Nafuzi Zain, penganjuran The Elite Games ini telah mencapai matlamat utama dan gembira kerana berpeluang menilai sendiri keupayaan pemain-pemain muda ini sebelum dibawa ke Indonesia.
”Saya sangat berpuas hati dengan The Elite Games ini. Saya rasa ia patut diteruskan dan lebih bagus jika diadakan setiap bulan untuk kita memantau pemain dari semasa ke semasa,” kata Nafuzi Zain selepas aksi.
”Saya rasa objektif mengadakan The Elite Games ini tercapai kerana di situ saya banyak melihat dan menilai para pemain.”
”Saya rasa kita dapat melihat sepenuhnya kebolehan pemain dan menilai pemain itu sendiri,” tambah jurulatih berusia 44 tahun itu lagi.
Nafuzi Zain bakal memuktamadkan senarai nama 30 pemain B-23 pada Rabu dengan dijangka sekitar 70% dari pemain di The Elite Games ini akan dipanggil sebelum penilaian akhir ke Indonesia.
Skuad muda Malaysia akan bersaing Piala Mandiri ASEAN B-23 yang dijadualkan berlangsung di Jakarta bermula pada 15 Julai hadapan dengan Indonesia, Filipina dan Brunei akan jadi lawan di peringkat kumpulan.