Malaysia B-23 Atur 3 Aksi Pemanas Badan Sebelum Ke Indonesia
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) bakal mengatur tiga aksi pemanas badan sebelum menyertai Kejuaraan ASEAN B-23 2025 di Indonesia.

Maklumat ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Ini sebagai persiapan anak buah Nafuzi Zain sebelum terbang ke Indonesia.

Meskipun begitu, identiti lawan untuk tiga aksi persahabatan itu tidak didedahkan setakat ini. Tiga aksi ini akan diadakan sepanjang kem Malaysia B-23 yang akan bermula pada 1 Julai ini.

“Lapan pemain muda yang diberi peluang berlatih bersama skuad senior ada potensi, Nafuzi Zain rancang mulakan kem latihan pusat 1 Julai dengan tiga perlawanan persahabatan untuk persiapan ke Piala Asean B-23 di Jakarta, Julai depan,” katanya di X.

Lapan pemain yang menyertai kem Harimau Malaya baru-baru ini berpeluang membawa cabaran Malaysia B-23.

Antara nama-nama tersebut ialah Alif Ahmad, Aiman Hakimi Othman, Haykal Danish Mohd Haizon dan Muhammad Abu Khalil.

Malaysia B-23 berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei. Skuad negara akan membuka kempen menentang Filipina pada 15 Julai.

Ini disusuli aksi menentang Brunei pada 18 Julai dan Indonesia (21 Julai). Juara kumpulan dan naib juara terbaik kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.

Separuh akhir akan berlangsung pada 25 Julai. Penentuan tempat ketiga diadakan pada 28 Julai dengan final sehari selepas itu.