Aksi minggu ketujuh Liga A1 Semi Pro musim 2024/25 menyaksikan beberapa keputusan mengejut dilakar tiga pasukan.
Kejutan terbesar dilakar pendatang baru liga, UiTM United FC. UiTM United berjaya mengikat Manjung City FC 2-2 di Manjung pada 27 Julai lalu.
Hasri Firzan Mohd Sukeri meletakkan Manjung City di hadapan pada minit keenam. UiTM United kemudiannya mendahului menerusi Fakhrur Razi Khairu Anuar dan Ahmad Haikal Haziq Ubaidillah.
Manjung kemudiannya berjaya meraih satu mata menerusi gol C. Sasikumar. Ini keputusan seri kedua UiTM United selepas mengikat PIB Shah Alam FC 1-1 pada 23 Jun lalu.
Hajat Machan FC untuk meneruskan rentak kemenangan tidak kesampaian apabila tewas kepada YPM FC. Dua gol Fahmie Haiqal Eddy Dzentor sudah cukup membantu YPM meraih kemenangan di Kuching.
Ini kemenangan pertama buat pasukan itu dalam Liga A1 Semi Pro selepas mencuba dalam lima perlawanan sebelumnya.
Sementara Armed Forces FC terus kecewa apabila gagal mencuri mata daripada PIB Shah Alam. Ini selepas PIB Shah Alam merekodkan kemenangan 3-1 ke atas anak buah Kevin Lee Cooper itu.
Khairu Anwar Khazali, Danial Ashraf Abdullah dan Ferris Danial Mat Nasir mencipta nama sebagai penjaring. Manakala Faiq Mat Alwi pula menyumbat gol saguhati untuk Armed Forces.
Ini kekalahan keempat pasukan itu dalam liga musim ini. Keputusan ini turut membantu PIB Shah Alam memburu dua pasukan teratas liga, Imigresen FC dan Melaka FC.
Beberapa keputusan mengejut ini dilihat mempengaruhi kedudukan terkini liga terutama dalam kelompok tercorot. Kemenangan pertama YPM membantu pasukan itu naik ke tangga ke-10 liga.
Sementara Armed Forces dan Machan pula masing-masing berada di tangga ke-11 dan 13 liga selepas mengharungi tujuh perlawanan. Manakala UiTM United pula keluar dari kedudukan tercorot dan menduduki tangga ke-14.
Aksi terbaru Liga A1 Semi Pro akan berlangsung dari 2 Ogos hingga 4 Ogos ini. Fokus kini tertumpu kepada Imigresen, Melaka dan PIB Shah Alam yang menduduki kelompok tiga pasukan teratas liga.