3 Pemain Muda Selangor Cari Cabaran Baharu
MakanBola
Selangor FC

Tiga pemain muda Selangor FC memilih mencari cabaran baharu pada musim hadapan.

Tiga pemain tersebut ialah Abdul Rahman Daud, Harry Danish Mohd Haizon dan Raimi Shamsul. Rahman terlebih dahulu mengumumkan bahawa musim 2025/26 merupakan musim terakhirnya bersama The Red Giants.

Kini, giliran Harry Danish dan Raimi mengumumkan perkara sama di akaun media sosial masing-masing. Raimi mengakui ini bukan keputusan mudah selepas mewakili Selangor selama lima musim.

Pada masa sama, dia melihat ini masa terbaik untuk membuka lembaran baru dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Memakai lencana ini, yang mewakili warna merah dan kuning, merupakan satu peluang yang menakjubkan. Lima tahun mengajar saya banyak perkara, tentang bola sepak, tentang manusia dan tentang diri saya sendiri.

“Saya percaya sudah tiba masanya untuk lembaran baharu dalam perjalanan saya. Terima kasih atas kenangan, ilmu dan kasih sayang,” katanya di Instagram.

Sentimen sama turut dikongsi Harry Danish. Dia menghargai pengalaman bersama Selangor tetapi merasakan ini masa sesuai untuk mencari cabaran baharu.

“Sebagai pemain muda, ia satu mimpi. Kini, ia menjadi satu memori. Hampir enam tahun bersama Selangor FC dari skuad remaja ke skuad senior, babak ini berakhir.

“Terima kasih atas peluang, ilmu, persahabatan dan memori yang akan kekal bersama saya selamanya,” katanya di Instagram.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada khabar angin yang mengaitkan Harry Danish dan Raimi dengan mana-mana pasukan. Rahman pula dikaitkan dengan perpindahan ke Negeri Sembilan FC.

Claim Money Packet TnG