Advertisement
3 Tonggak JDT Rehat Panjang
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa melupakan khidmat 3 pemain tonggak akibat kecederaan.

Anak didik Hector Bidoglio ketika ini berada dalam prestasi terbaik apabila merekodkan empat kemenangan berturut-turut dalam kesemua perlawanan terdahulu dalam saingan domestik.

Oleh itu, Harimau Selatan kini dalam kedudukan selesa untuk sekali lagi menjulang kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia yang ketika ini sudah pun memasuki peringkat separuh akhir.

Walau bagaimanapun, kem JDT pada masa ini sedang diuji dengan isu kecederaan yang melibatkan beberapa tonggak penting yang sedikit sebanyak merencatkan pelan Hector Bidoglio.

Terbaharu, nama bek kental JDT, Feroz Baharudin memasuki senarai kecederaan apabila dilaporkan mengalami Anterior Crucient Ligament (ACL) yang memerlukan masa agak lama untuk kembali.

“Untuk Feroz ketika ini, saya difahamkan dia mengalami kecederaan ACL,” lapor wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi ketika dalam rancangan Nadi Bola.

”Esok, saya akan dapatkan butiran lebih lanjut mengenai keadaan Feroz menerusi sidang media bersama jurulatih JDT,” tambah beliau.

Sebelum ini, Syahmi Safari mengalami kecederaan sekaligus mengucapkan selamat tinggal lebih awal serta memberi petanda tidak akan beraksi lagi buat Harimau Selatan musim ini.

Sementara, seorang lagi pemain iaitu Hong Wan turut sama terlepas beberapa perlawanan buat pasukan JDT musim ini akibat kecederaan dengan kali terakhir beraksi menentang Penang.

”Untuk makluman juga, Feroz menyertai Syahmi Safari dan Hong Wan yang dalam senarai kecederaan JDT ketika ini,” jelas Fadhirul lagi.

Lawan JDT seterusnya adalah Sabah dalam saingan Liga Super Malaysia pada Sabtu di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula perlawanan tepat jam 8.15 malam.