Kempen Malaysia di Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 diteruskan dengan aksi terakhir kumpulan B menentang Singapura malam esok. Namun ianya bukan satu tugas yang mudah selepas melihat Singapura bertahan dengan baik dalam mengikat Vietnam tanpa jaringan tempoh hari.
Misi wajib menang buat Malaysia dan corak permainan agresif dijangka akan diterapkan Kim Pan-gon demi mencari gol awal sekali gus melayakkan Malaysia ke separuh akhir. Jika dilihat barisan pemain Singapura, ini merupakan lima pemain kebal di barisan pertahanan Singapura yang perlu pemain Malaysia lepasi.
Hariss Harun
Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini beraksi untuk Lion City Sailors ini merupakan kapten pasukan kebangsaan Singapura. Walaupun ketika di JDT beliau beraksi selaku pemain tengah bertahan namun peranannya kini banyak digunakan sebagai pemain pertahanan tengah.
Ketenangan yang dimiliki sudah pasti akan menjadi aset bernilai buat Singapura dalam mematahkan serangan barisan pemain Malaysia.
Irfan Fandi
Anak kepada lagenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Pemain tinggi lampai ini mempunyai abiliti yang luar biasa dalam mengawal pertahanan Singapura.
Shakir Hamzah
Pemain ini sangat dikenali di Malaysia apabila pernah menyarung jersi pasukan Kedah dan Perak dalam saingan Liga Malaysia. Pemain berkaki kidal ini mampu beraksi di bahagian pertahanan tengah mahu pun pertahanan kiri.
Namun taktikal pasukan Singapura yang kini dikendalikan Takayuki Nishigaya akan menyaksikan Shakir bakal bergandingan dengan Irfan dan Hariss sebagai pertahanan tengah bertiga sambil dibantu peranan dua bek sayap kanan dan kiri.
Hassan Sunny
Penjaga gol berpengalaman berusia 38 tahun ini dijangka akan diturunkan dalam perlawanan menentang Malaysia esok. Pengalaman luas yang dimiliki sudah pasti akan digunakan sebaiknya dalam menepis setiap serangan dari pasukan Malaysia.
Kecekapan Hassan sudah terbukti apabila menentang Malaysia selepas kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi persahabatan antarabangsa Mac tahun lalu di mana Singapura menang 2-1.