5 Artis Antarabangsa Serikan Keraian Kejuaraan JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Penyanyi rap dan pelakon terkenal Amerika Syarikat (AS), Curtis James Jackson III atau 50 Cent antara lima artis antarabangsa yang akan menyerikan malam sambutan kejuaraan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini selepas pengurusan Harimau Selatan mengumumkan barisan artis yang bakal menghiburkan penyokong di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk majlis berkenaan pada 30 Mei ini.

50 Cent bakal menyertai senarai penyanyi antarabangsa yang pernah membuat persembahan khas untuk malam keraian kejuaraan JDT.

Selain beliau, JDT pernah menjemput Bow Wow, Jason Derulo, Vegedream, French Montana, Busta Rhymes, Fabolous, Big Ben dan Onefour.

50 Cent bakal disertai Big Ben, Onefour, kumpulan penari Jabbawockeez dan Royal Family. Ini kali kedua Big Ben dan Onefour membuat persembahan di SSI selepas melakukannya pada tahun 2025.

Jabbawockeez pula kembali mewarnai SSI buat tahun ketiga selepas melakukannya pada 2023 dan 2025. Lantas, tidak hairanlah kumpulan itu menulis komen ini di ruang komen Johor Southern Tigers, “Jumpa anda tidak lama lagi, Malaysia.”

Sebaik barisan artis ini diumumkan pengurusan JDT, ramai penyokong termasuk figura terkenal tidak sabar untuk melihat kelibat mereka.

Ikon rap Malaysia, Joe Flizzow teruja melihat kelibat artis-artis ini terutama 50 Cent beraksi di SSI. “Ini cara Johor!!” katanya sambil menyebut nama DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Penyanyi rap negara yang sedang meningkat naik, Killa Driz juga teruja dengan pengumuman tersebut. “Gila!” katanya.

JDT berharap dapat menambah satu lagi kejuaraan apabila menentang Kuching City FC dalam aksi final Piala Malaysia pada Sabtu.