7 Kelab Malaysia Mohon Lesen AFC – MFL
MakanBola
Selangor FC

Tujuh kelab Malaysia sudah mengemukakan permohonan Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) agar dapat bertanding di pentas Asia.

Perkara ini dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd dalam sesi meja bulat MFL pada 29 April lalu.

“Kita mendapat tujuh pemohon Lesen AFC, 10 dianggarkan (untuk) Lesen Kebangsaan dan juga dua Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada pasukan AFL (Amateur Football League).

“Dua pasukan AFL turut memohon Lesen Kebangsaan Luar Biasa sekiranya pasukan tersebut bermain di Liga Super pada masa depan,” katanya.

Shazli turut mengingatkan semua pemohon lesen agar melengkapkan permohonan mereka secepat mungkin.

Ini kerana tarikh akhir buat semua pasukan untuk melengkapkan permohonan lesen yang dinyatakan ialah 30 April.

Lesen AFC wajib diperoleh mana-mana pasukan Liga Super jika ingin beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).