Piala FA

Piala FA: Silap Sendiri Punca DPMM Kecundang

Bergson Danial DPMM JDT JST Piala FA: Silap Sendiri Punca DPMM Kecundang
Johor Southern Tigers
Advertisements

Jurulatih DPMM FC, Jamie McAllister mengakui kesilapan anak buahnya menyebabkan pasukan itu tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA.

Pandangan itu dibuat jurulatih Scotland itu selepas menilai persembahan DPMM sepanjang perlawanan di Stadium Nasional Sultan Hassanal Bolkiah (SNSHB).

Kelekaan di bahagian benteng membuka ruang buat Bergson da Silva menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Somerville.

Kegagalan DPMM mengeluarkan bola dalam situasi sepakan sudut membolehkan Eddy Israfilov menggandakan kelebihan JDT.

Meskipun kecewa dengan apa yang berlaku, McAllister tetap memuji prestasi anak buahnya yang memberi tentangan sengit kepada Harimau Selatan sepanjang perlawanan.

“Saya fikir kita cukup berdisiplin dan memiliki bentuk (dari segi formasi). Saya fikir kita cukup tersusun dan menghalang sebuah pasukan hebat daripada mencipta beberapa peluang.

“Dan seperti anda kata, kita sepatutnya lebih baik bila dibolosi dua gol. Gol pertama itu satu kesilapan, kita sepatutnya keluarkan. Dan gol kedua hadir dalam situasi sepakan sudut, mereka halang pemain kita dan berlari untuk menjaringkan gol.

“Jadi, untuk dua gol itu, kita sepatutnya tangani dengan lebih baik. Tapi kita juga mendapat beberapa peluang dan kita sepatutnya menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol,” katanya seperti dilaporkan Astro Arena.

DPMM berdepan misi sukar untuk mengatasi kelebihan agregat 2-0 untuk aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 November ini.