Pertahanan muda kebangsaan, Azam Azmi Murad merangkul gelaran pertahanan terbaik Liga Malaysia bagi musim 2023.
Pemain berusia 23 tahun itu muncul sebagai pemenang dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) untuk tahun 2023.
Terdapat 10 calon yang disenaraikan bagi kategori ini iaitu Azam Azmi dan Shahrul Nizam dari Terengganu, Dominic Tan dan Rizal Ghazali dari Sabah, Feroz Baharudin, Corbin Ong dan Matt Davies dari JDT, Kamal Azizi dari KL City, serta Quentin Cheng dan Sharul Nazeem dari Selangor.
Daripada senarai 10 calon ini, tiga pemain telah disenarai pendek dan diangkat sebagai calon finalis bagi kategori pertahanan terbaik ini iaitu Azam Azmi dari Terengganu, Feroz Baharudin dari JDT serta Corbin Ong yang juga dari JDT.
Konsistensi dan persembahan memukau yang dipamerkan Azam sepanjang musim menjadi sebab beliau diangkat sebagai pemenang.
Komitmen beliau sepanjang musim nyata membuahkan hasil apabila pemain asal Pulau Pinang ini berjaya menewaskan duo dari JDT iaitu Feroz Baharudin dan Corbin Ong dalam pemburuan gelaran pertahanan terbaik kebangsaan.
Untuk rekod bagi edisi ABK22 pada musim lalu, kategori ini telah dirangkul oleh pemain pertahanan dari JDT iaitu Shahrul Saad. Kini gelaran itu disandang oleh pemain muda negara yang sedang meningkat naik iaitu Azam Azmi Murad.