Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen Liga Juara Juara Asia (ACL) dengan langkah kanan apabila mudah menewaskan kelab dari China, Guangzhou FC dengan keputusan 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.
JDT memulakan permainan dengan sangat agresif dengan variasi serangan yang diatur. Banyak serangan yang dilakukan pada awal permainan adalah bermula dari pemain licik mereka, Arif Aiman di sayap kanan.
Hasil serangan demi serangan yang cuba diatur, akhirnya JDT tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan melalui Bergson seawal minit ke-9. Gol itu terhasil daripada hantaran lintang dari Shane Lowry di bahagian kiri. Bergson yang tidak dikawal, mudah menanduk menewaskan penjaga gol Guangzhou, He Lipan.
Selang 3 minit selepas itu, JDT berjaya menggandakan kedudukan menjadi 2-0 selepas rembatan deras Fernando Forestieri tidak berjaya ditangkap kemas He Lipan dan terus melantun ke gawang gol. Gol itu disahkan sebagai gol sendiri He Lipan. JDT mendahului Guangzhou 2-0 dalam tempoh 3 minit.
Pada minit ke-18, JDT hampir untuk menambah jaringan melalui Bergson namun rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti tersasar.
Forestieri hampir saja menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-24, namun rembatan dari luar kotak penalti berjaya ditangkap penjaga gol.
JDT berjaya menggandakan kedudukan menjadi 3-0 pada minit ke-28, sekali lagi melalui penyerang mereka Bergson. Bergson yang menerima bola daripada Corbin Ong berjaya melakukan rembatan yang mengelirukan pertahanan Guangzhou FC sekaligus menewaskan penjaga gol lawan.
Untuk 30 minit yang dilalui, permainan ini dikawal sepenuhnya oleh pemain JDT dengan mereka dilihat mudah bertukar-tukar hantaran pendek dan barisan serangan JDT yang diketuai Bergson sangat ghairah untuk mencari gol.
Pasukan Guangzhou banyak berkampung di kawasan sendiri dan dilihat menanti untuk melakukan serangan balas. Namun pertahanan JDT yang diketuai Shane Lowry lebih pantas menutup ruang.
Bergson hampir meledak hatrik dalam perlawanan ini apabila pada minit ke-43, Bergson yang menerima hantaran baik daripada rakan sepasukan, membawa bola masuk ke dalam kotak penalti namun rembatannya sedikit melambung tinggi.
Separuh masa pertama ditamatkan dengan JDT mempunyai kelebihan apabila mendahului Guangzhou dengan kedudukan 3-0.
Separuh masa kedua dimulakan dengan Benjamin Mora mengekalkan pemain yang sama tanpa sebarang pertukaran manakala Guangzhou melakukan satu pertukaran dalam usaha mereka memberi saingan buat JDT.
Pada minit ke-48, Bergson hampir saja menjaringkan gol selepas menerima hantaran lintang dari Matthew Davies namun rembatan Bergson sedikit melambung.
Bergson akhirnya meledak hatrik pada minit ke-52 selepas menerima hantaran lintang menarik dari Corbin Ong. Bergson tidak mensia-siakan peluang apabila melakukan tandukan yang mengelirukan penjaga gol sekaligus menjadikan kedudukan 4-0 memihak JDT.
Serangan JDT berterusan dan Forestieri hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-55 namun rembatan lencong beliau sedikit tersasar di kiri gawang Guangzhou.
Dominasi sepenuhnya dipamerkan oleh JDT manakala tiada langsung gerakan merbahaya dari pasukan Guangzhou yang mampu melepasi barisan pertahanan kental JDT.
Guangzhou menerima tamparan hebat apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Guan Haojin dilayangkan kad merah pada minit ke-70 kerana dilihat menyepak kepala Bergson selepas gagal dalam perebutan bola.
Pemain gantian, Ramadhan Saifullah menjarakkan kedudukan buat JDT menjadi 5-0 pada minit ke-80 melalui satu gol yang menarik. Gol tersebut adalah hasil ‘killer pass’ dari Nazmi Faiz. Ramadhan yang menerima bola tersebut mudah melakukan ‘cip’ yang akhirnya menewaskan penjaga gol Guangzhou.
Peluang terbaik buat JDT hadir sekali lagi melalui Forestieri pada minit ke-86 namun rembatan jarak dekatnya tidak menemui sasaran selepas hanya singgah ke sisi gawang Guangzhou.
Serangan JDT berterusan dan kali ini melalui Nazmi Faiz pada minit ke-88 namun rembatan jarak jauhnya berjaya ditepis He Lipan.
Perlawanan ditamatkan selepas 3 minit masa tambahan tanpa tambahan jaringan dengan JDT menang selesa 5-0 membelasah Guangzhou.
Kemenangan besar JDT ke atas Guangzhou ini menyaksikan JDT mendahului Kumpulan I Liga Juara Juara Asia dengan 3 mata. Dua lagi pasukan dalam kumpulan yang sama iaitu Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale mengutip satu mata selepas terikat 1-1 dalam perlawanan yang dilangsungkan lebih awal.