ACL: JDT Tewas Kepada Urawa Reds

Natxo JDT ACL: JDT Tewas Kepada Urawa Reds
Johor Southern Tigers

Aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) pusingan kalah mati hari ini menyaksikan pertembungan antara pasukan Johor Darul Ta’zim menentang Urawa Red Diamonds.

Wakil dari Malaysia, Johor Darul Ta’zim terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah ke peringkat lebih jauh apabila tewas kepada pasukan dari Jepun, Urawa Red Diamonds dengan keputusan 5-0.

Gol pembukaan hadir seawal minit ke-8 permainan apabila pasukan Urawa dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil. Peluang itu mudah dimanfaatkan Alexander Scholz menyaksikan Urawa mendahului 1-0 dihadapan. 

Pada minit ke-19 permainan, sepakan percuma David Moberg Karlsson cantik meluru masuk menggegar jaring. Percubaan itu sekaligus menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias. 

David Moberg Karlsson sekali lagi menghukum barisan pertahanan JDT apabila beliau menjaringkan gol ketiga buat pasukan. 

Aksi separuh masa pertama tamat dengan pasukan tuan rumah, Urawa Red Diamonds mendahului 3-0 di hadapan. 

Babak kedua permainan bermula dengan kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar hantaran.

Beberapa pertukaran telah diatur pengendali JDT, Hector Bidoglio dengan memasukkan Ramadhan Saifullah dan Afiq Fazail untuk menguatkan pasukan.

JDT terus ghairah menyerang untuk memecah kebuntuan. Bagaimanapun gerakan-gerakan JDT seringkali dipatahkan pasukan tuan rumah.

Pemain gantian Urawa Reds, Kasper Junker tutup harapan JDT untuk bangkit. Junker berjaya menjaringkan dua gol cantik. Jaringan beliau meletakkan Urawa Reds selesa mendahului di hadapan.

Beberapa percubaan yang dilakukan JDT bagaimanapun tidak menatijahkan kepada jaringan. JDT tewas di bumi Jepun, Urawa Reds catat kemenangan bergaya dengan keputusan Urawa 5-0 JDT.