Advertisement
ACLE: Kawasaki Frontale Garang Atasi Shanghai Port
ACL
MakanBola
AFC Champions League

Kawasaki Frontale kembali mendapat rentak kemenangan setelah membelasah Shanghai Port dalam perlawanan AFC Champions League Elite (ACLE) pada Selasa.

Setelah melakar kemenangan sulung sebelum ini, Shanghai Port turun di aksi keempat dengan momentum terbaik bagi meraih 3 mata apabila berdepan Kawasaki Frontale di laman lawan.

Kawasaki Frontale beraksi tanpa tonggak utama, Marcinho yang dilayangkan kad merah pada aksi terdahulu manakala Willian Popp dan Gustavo menjadi pilihan Shanghai Port di jentera serangan.

Permulaan yang baik buat Frontale apabila berjaya meledak gol pertama seawal minit ke-12 menerusi Akihiro Ienaga yang melepaskan satu rembatan kencang ke sebelah kiri gawang lawan.

Seminit kemudian, giliran Yusuke Segawa meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0 setelah menerima umpanan cantik oleh Yuki Yamamoto sebelum menewaskan penjaga gol, Yan Junling.

Usaha Shanghai Port untuk bangkit tidak kesampaian setelah bek kanan, Sai Van Wermeskerken menambah jaringan ke-3 buat Frontale setelah menyambar lorongan Erison pada minit ke-33.

Separuh masa pertama tamat, Kawasaki Frontale 3-0 Shanghai Port.

Bersambung babak kedua, Shanghai Port yang dibimbing Kevin Muscat berpeluang untuk mendapatkan gol pertama namun tandukan Wang Shenchao dan percubaan Gustavo sedikit tersasar.

Jaringan yang dicari akhirnya tiba buat Shanghai Port setelah percubaan dari luar kotak penalti oleh Matias Vargas terus menerjah ke jaring gol Frontale ketika permainan berbaki 7 minit.

Walau bagaimanapun, gol dari Vargas tersebut tidak cukup buat juara Chinese Super League 2024 itu untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dari bumi Jepun ini.

Aksi di Stadium Kawasaki Todoromi berakhir dengan keputusan 3-1 memihak tuan rumah.

Lawan seterusnya menanti Kawasaki Frontale adalah jaguh Thailand, Buriram United di tempat lawan manakala Shanghai Port pula menentang juara K-League, Ulsan HD.