37 pemain didakwa sedang dikenal pasti memiliki pertalian darah Argentina-Malaysia.
Arena bola sepak tempatan rancak menyambut kedatangan beberapa muka baharu yang bakal memperkuat Harimau Malaya pada Jun ini.
Kehadiran pertahanan La Liga, Facundo Garces menambah tonik skuad negara menjelang pertemuan dengan Vietnam bagi aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Bukan itu sahaja, terdapat beberapa nama yang mula dikaitkan bakal menghampiri Harimau Malaya termasuklah Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Jon Irazabal.
Kehadiran pemain negara dari Amerika Selatan ini sudah pasti meraih tumpuan peminat bola sepak Asia Tenggara dengan laporan daripada media luar negara mengukuhkan perkara ini.
Namun begitu, khabar angin daripada media di Venezuela menyebut bahawa usaha revolusi Harimau Malaya ini telah berjaya mengesan hampir 37 orang pemain berdarah Argentina.
“Laporan menyebut bahawa Malaysia sedang mengenal pasti 37 pemain bola sepak Argentina yang mungkin mempunyai datuk dan nenek dari Malaysia,” katanya di laman X.
Perkara ini sejajar dengan kenyataan ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berhubung senarai panjang pemain warisan Malaysia di luar negara telah berjaya dikenal pasti.
“Terdapat banyak spekulasi berkenaan pemain warisan baharu Malaysia. Ada proses yang perlu dilalui untuk kita meneliti pemain warisan di luar negara.
“Kita juga memiliki senarai panjang yang beraksi di luar negara dan mereka ini Malaysia. Mereka perlu memuktamadkan beberapa perkara dan ini adalah prosesnya.
Aksi Malaysia dan Vietnam dijadualkan berlangsung pada 10 Jun 2025 jam 9.00 malam di Stadium Nasional, Bukit Jalil.