Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim memaklumkan program pemain naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk skuad kebangsaan telah dihentikan buat sementara waktu.
Perkara ini dinyatakan beliau dalam Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab persoalan yang diutarakan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berkenaan isu pemain naturalisasi negara.
Meskipun program ini dihentikan di peringkat FAM, kelab-kelab bola sepak yang bernaung di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) boleh meneruskan program naturalisasi mengikut langkah dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menghentikan program naturalisasi pemain di peringkat kebangsaan buat sementara waktu.
“Walau bagaimanapun, kelab bola sepak yang bernaung di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih boleh meneruskan program ini mengikut langkah dan prosedur ditetapkan kerajaan.
“Pemain naturalisasi mewujudkan persekitaran yang kompetitif (dan) memberikan persaingan kepada pemain-pemain tempatan agar dapat disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan kita.
“Di samping itu, kehadiran pemain dalam kategori ini juga membantu meningkatkan mutu bola sepak Malaysia yang dapat dilihat menerusi peningkatan ranking antarabangsa sekarang,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita RTM.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pemain naturalisasi menjadi tonggak utama dalam skuad kebangsaan untuk kejohanan antarabangsa termasuk Piala Asia 2023.
Antara nama yang kini membarisi skuad kebangsaan ialah Paulo Josue, Mohamadou Sumareh, Endrick dos Santos dan Romel Morales.