Adidas Mohon Maaf
MakanBola
Adidas Group

Jenama sukan terkenal, Adidas memohon maaf atas kontroversi membabitkan kempen iklan mereka yang menampilkan bekas tentera Israel.

Sejak beberapa hari lalu, Adidas dikecam ramai peminat sukan antarabangsa kerana menggunakan Shalev Biton sebagai model iklan mereka. Biton pernah berkhidmat sebagai tentera Israel pada 2021 dan kini menjadi atlet kelainan upaya.

Imej Biton antara 11 atlet digunakan Adidas bagi mempromosikan perkhidmatan Single Shoe. Meskipun begitu, penggunaan imejnya oleh jenama tersebut mencetuskan kemarahan ramai peminat sukan antarabangsa.

Organisasi pro-Palestin dan para aktivis menyuarakan bantahan keras terhadap pemilihan Biton. Mereka menegaskan bahawa seseorang yang terlibat dalam pengeboman Gaza tidak sepatutnya diangkat sebagai wajah kempen inklusiviti.

Menurut Leyla Hamed, seorang wartawan sukan, Adidas sepatutnya lebih sensitif dalam memilih wakil kempen mereka. Beliau menegaskan bahawa Gaza mencatatkan kadar kanak-kanak mengalami amputasi tertinggi di dunia, di mana lebih 5,000 kes pemotongan anggota badan dianggarkan berlaku sejak Oktober 2023 berpunca daripada serangan tentera Israel.

Pelakon terkenal Sepanyol, Javier Bardem antara figura terkenal yang menggesa pengguna di seluruh dunia untuk memboikot Adidas. Susulan itu, jenama berkenaan memohon maaf atas apa yang berlaku.

“Kami sedar imej yang digunakan untuk kempen pengiklanan tempatan oleh pasukan telah mencetuskan reaksi yang kuat dan menimbulkan kebimbangan.

“Kami bukan berniat untuk menyinggung sesiapa dan kami memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung,” kata syarikat itu seperti dilaporkan Anadolu.

Adidas juga berjanji akan sentiasa mendengar, belajar dan bekerja bagi memastikan tindakan yang diambil mengambil kira nilai inklusif syarikat.

Jenama itu bukan sekali berdepan kecaman peminat sukan antarabangsa kerana isu membabitkan Israel. Sebelum ini, ramai peminat mahu memboikot Adidas kerana memeterai kontrak sebagai pembuat jersi rasmi pasukan bola sepak negara itu.

Adidas kemudiannya memilih tidak lagi melanjutkan kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA). Meskipun begitu, jenama itu tidak mendedahkan sebab berbuat demikian.