Hasrat wakil Asia Tengah, Tajikistan menewaskan tuan rumah Piala Asia 2023, Qatar dalam aksi kedua Kumpulan A tidak kesampaian.
Ini selepas pasukan yang diberi jolokan The Maroons itu berjaya menewaskan The Crowns di Stadium Al Bayt hari ini.
Qatar tahu kemenangan hari ini bakal mencerahkan laluan mereka ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Asia 2023. Sementara Tajikistan pula mahu mencipta kemenangan untuk merampas slot tempat kedua kumpulan daripada China.
Pasukan Asia Timur itu ketika ini berada di tempat kedua kumpulan dengan dua mata selepas seri tanpa jaringan dengan Lubnan dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Babak pertama menyaksikan penjaga gol Qatar, Meshaal Barsham terlebih dahulu diuji oleh anak buah Petar Segrt itu menerusi hantaran deras Manuchekhr Safarov pada minit kelapan.
Barisan pertahanan Qatar menghela nafas lega apabila hantaran beliau berjaya ditangkap kemas penjaga gol Al-Sadd itu.
Beberapa minit selepas itu, Barsham cemerlang menafikan percubaan penyerang muda Lokomotiv Tashkent, Rustam Soirov.
Ketumpulan jentera serangan The Crowns dihukum The Maroons. Selepas menerima hantaran Almoez Ali, Akram Afif menyumbat gol pertama buat tuan rumah pada minit ke-17.
Qatar menyangka mendapat penalti pada minit ke-33 apabila Ali didakwa dikasari dalam kotak penalti Tajikistan. Bagaimanapun, penalti tersebut ditarik balik pengadil selepas disemak oleh penolong pengadil video (VAR).
Tajikistan cuba bangkit mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Tajikistan terus memberi tekanan kepada tuan rumah untuk mendapatkan gol penyamaan.
Malangnya, beberapa serangan yang cuba diatur ke atas kubu The Maroons berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan diketuai Bassam Al-Rawi.
The Crowns terus bernasib malang apabila VAR mengesan insiden kaki Amadoni Kamolov terkena kepala pemain Qatar. Pada awalnya, Kamolov hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil Jepun, Hiroyuki Kimura.
Bagaimanapun, selepas melihat insiden tersebut di monitor, Kimura membatalkan kad kuning yang diberi kepada Kamolov dan melayangkan kad merah kepadanya pada minit ke-81.
Keputusan tersebut mengundang rasa tidak puas hati Segrt tetapi bantahan beliau tidak dilayan oleh Kimura. Kamolov menjadi pemain pertama dikenakan kad merah dalam Piala Asia 2023.
Dengan Tajikistan hanya bermain dengan 10 pemain, Qatar berusaha menambah jaringan mereka. Pada akhirnya, keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Qatar selesa menerajui Kumpulan A dengan enam mata daripada dua perlawanan. Sementara Tajikistan pula berada di tangga ketiga kumpulan dengan satu mata.
Akram Afif dipilih pemain terbaik perlawanan hari ini selepas mendapat markah 8.2 mata oleh Sofascore.
Qatar boleh mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik sebagai juara kumpulan dengan menewaskan China pada 22 Januari ini.
Manakala Tajikistan pula perlu meraih kemenangan dengan Lubnan pada hari yang sama jika mahu layak ke pusingan seterusnya sebagai naib juara kumpulan.