Thailand sekali lagi pamer aksi mengagumkan untuk mengikat Oman di Stadium Abdullah bin Khalifa.
Masatada Ishii mempertaruhkan Supachai Chaided selaku penyerang utama pasukan manakala Theerathon Bunmathan memakai lilitan kapten pasukan Thailand. Oman pula menagih bisa gandingan dua penyerang, Issam Al-Subhi dan Muhsen Al Ghassani dalam mencari kemenangan pertama Oman di Piala Asia.
Oman menguasai pegangan bola berbanding skuad Gajah Perang untuk aksi separuh masa pertama namun mereka hanya berjaya merekodkan tiga percubaan sahaja sepanjang 45 minit berlangsung.
Thailand yang tampil bersedia dalam perlawanan ini berjaya mencuri peluang untuk melancarkan serangan balas dan menghasilkan lebih banyak percubaan berbanding Oman iaitu sebanyak 4 percubaan.
Thailand mempunyai peluang terbaik pada akhir babak pertama apabila meraih sepakan percuma namun sepakan tersebut berjaya ditangkap kemas penjaga gol Oman, Ibrahim Al-Mukhaini.
Aksi separuh masa pertama tamat tanpa sebarang jaringan daripada kedua-dua belah pasukan.
Memasuki babak kedua, Oman menggandakan asakan dan hampir meraih gol pertama menerusi percubaan Salaah Al Yahyaei namun berjaya dihadang penjaga gol Thailand.
Kapten Changsuek, Theerathon Bunmathan dilayangkan kad kuning pada minit ke-57 setelah melakukan kekasaran dan bakal terlepas aksi seterusnya menentang Arab Saudi.
Pasukan kendalian Branko Ivankovic yang memfokuskan serangan pada bahagian kanan padang telah beberapa kali cuba menguji gawang gol Thailand tetapi bergelut untuk menewaskan barisan pertahanan lawan.
Oman menguasai 70% penguasaan bola namun mereka hanya mencatatkan 6 percubaan dalam perlawanan ini dimana Thailand turut mampu melakukan 6 percubaan terhadap mereka.
Tamat perlawanan, Thailand mengikat Oman 0-0 dan kini Thailand mengumpul 4 mata setelah mengharungi dua perlawanan manakala Oman meraih mata pertama dalam kejohanan ini.
Thailand bakal berhadapan dengan Arab Saudi untuk aksi terakhir Kumpulan F manakala Oman akan menentang Kyrgyzstan pada tarikh 26 Januari kelak.