Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John menyatakan sebab kelab Liga Super perlu menjadi ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Salah satunya ialah hak mereka sebagai pemegang taruh dalam arena bola sepak negara. Ini ditambah dengan kelab-kelab ini bersaing dalam pertandingan tertinggi bola sepak negara dengan sebahagian membawa cabaran di peringkat antarabangsa.
Selain itu, Windsor melihat ini kelab-kelab memiliki hak asas sebagai ahli gabungan dan patut memiliki suara dalam badan induk seperti FAM. Ini satu perkara di mana AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak akan berkompromi.
“Siapa yang main bola paling tertinggi di Malaysia? Siapa? Negeri ke kelab? Yang main bola kelab di peringkat tertinggi ya. Tapi tak ada suara dalam perwakilan, tak bolehlah. Betul? Itu sudah melawan demokrasi.
“Baik, peraturan standard memerlukan sesiapa yang bermain bola sepak pada tahap tertinggi untuk menjadi sebahagian daripada struktur tadbir urus. Anda tidak boleh kata tidak.
“Tetapi (hak) pemegang taruh ialah hak asas untuk menjadi sebahagian daripada keahlian (badan induk). Ini sesuatu yang kita tidak boleh berkompromi. AFC dan FIFA tidak akan berkompromi. Anda pergi mana-mana negara di dunia, kelab ada suara dalam perwakilan,” katanya dalam sidang media yang diadakan pada Isnin.
Penambahan kelab Liga Super sebagai ahli gabungan FAM merupakan antara draf statut yang akan dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa FAM pada 4 Jun ini.
Selain draf statut, pasukan petugas khas AFC juga akan membentangkan laporan audit badan induk itu. Laporan tersebut dijangka dibentangkan sebelum Kongres Luar Biasa FAM berlangsung.