Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendedahkan satu perkara yang menjadi punca utama isu yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany mendedahkan budaya mengikut kumpulan majoriti dilihat memberi kesan kepada FAM untuk maju ke hadapan.
“Jika saya boleh katakan satu perkataan, ianya budaya. Budaya organisasi harus diubah. Terdapat budaya mengikut kumpulan majoriti.
“Tanpa tekanan daripada sesiapa, semua orang fikir mereka patut melakukan sesuatu dengan cara yang sama. Budaya ini takkan wujud dalam mana-mana pertubuhan yang berjaya,” katanya.
Kardany berkata demikian dalam sidang media khas AFC yang diadakan di Wisma FAM pada Isnin.
AFC turut memaklumkan selepas audit yang dijalankan terhadap FAM selesai, ia akan dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa FAM. Kongres tersebut dijangka diadakan sebelum Piala Dunia 2026 bermula.
Laporan audit itu merupakan sebahagian daripada proses reformasi dalaman FAM selepas kepimpinan badan induk itu meletak jawatan pada Januari lalu.