Advertisement
AFC Kongsi Kemunculan Semula Malaysia Di Piala Asia
Harimau Malaya
MakanBola
Azri / MakanBola

Laman media sosial rasmi AFC Asian Cup Qatar 2023 kongsi kemunculan semula pasukan Malaysia di pentas Piala Asia 2023.

Pada Jun tahun lalu, Harimau Malaya mengakhiri badi 42 tahun dan layak secara merit ke pentas Piala Asia 2023 selepas skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya menewaskan Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu sekaligus melayakkan Malaysia untuk beraksi dalam edisi Piala Asia 2024 yang bakal bermula pada bulan Januari kelak.

Menurut perkongsian daripada AFC, ini merupakan kali keempat Malaysia sertai Piala Asia. Kali pertama Malaysia sertainya ialah pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan pada tahun 2007 ketika itu Malaysia bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam menjadi tuan rumah.

“Ini akan menjadi penampilan keempat Malaysia di Piala Asia selepas pernah menjadi tuan rumah bersama kejohanan itu pada 2007. Harimau Malaya telah diundi berada dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.”

“Malaysia pastinya akan berusaha untuk meloloskan diri ke peringkat seterusnya sekaligus mencipta sejarah baharu buat mereka.”

Kempen Piala Asia buat Malaysia bakal bermula pada 15 Januari kelak. Malaysia dijadual bertemu Jordan pada Isnin, jam 8.30 malam di Stadium Al Janoub, Qatar.

Selepas itu Harimau Malaya akan menentang Bahrain pada Sabtu, 20 Januari sebelum melengkapkan aksi di peringkat kumpulan bertemu jaguh Asia, Korea Selatan pada Khamis, 25 Januari 2024.

Kem Harimau Malaya kini sedang berada dalam prestasi terbaik selepas menang dalam dua aksi di Kelayakan Piala Dunia 2026 bertemu Kyrgyzstan dan Taiwan baru-baru ini. Anak buah Kim Pan-gon dilihat berada dalam momentum terbaik untuk mempamerkan kualiti sebenar dan memberi saingan di pentas Piala Asia kelak.