AFC Laksana Perubahan Menyeluruh Terhadap FAM
MakanBola
FA Malaysia

Kongres Luar Biasa (EGM) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyaksikan badan itu mengalami perubahan menyeluruh.

Perubahan ini berlaku menerusi pelaksanaan saranan yang dikemukakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menerusi draf pindaan statut yang dibentangkan dalam kongres pada Khamis.

Semua 18 ahli gabungan FAM sebulat suara bersetuju meluluskan bukan saja statut baharu badan induk itu. Malah, barisan ahli gabungan turut meluluskan Kod Elektoral dan Peraturan Organisasi FAM.

Kedua-dua peraturan ini bakal menjadi asas struktur pentadbiran dan proses pilihan raya badan induk bola sepak negara itu pada masa akan datang. Ini termasuk pemilihan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang dijangka berlangsung pada September ini.

94 pindaan statut yang diluluskan terhasil menerusi audit yang dijalankan AFC terhadap badan induk itu sejak Januari lalu. Audit tersebut bertujuan memperkukuhkan struktur organisasi FAM mengikut amalan terbaik yang diguna pakai badan bola sepak antarabangsa.

Antara perubahan utama yang bakal diperkenalkan ialah perubahan struktur kepimpinan baharu FAM. Jawatan Timbalan Presiden dimansuhkan dengan tiga Naib Presiden, salah satunya bakal diisi secara automatik oleh Presiden Malaysian Football League (MFL).

Selain itu, keahlian ahli gabungan turut diperluaskan dengan kehadiran kelab-kelab Liga Super. Mereka akan diberi keahlian secara automatik dan hak mengundi dalam Kongres dengan syarat berstatus entiti bebas daripada persatuan bola sepak negeri.

Ini juga selaras dengan ketetapan AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di mana kelab-kelab harus mempunyai suara dalam badan induk bola sepak seperti FAM. Malah, ia hak asas bagi sesebuah kelab yang diutamakan kedua-dua badan berkenaan.

Selain kelab-kelab Liga Super, wakil Amateur Football League (AFL), Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Liga Wanita Nasional (LWN) dan badan berkepentingan seperti Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan persatuan pengadil juga akan mendapat status ahli gabungan.

Perubahan ini turut menyaksikan tujuh kerusi Exco diperuntukkan mengikut slot khas seperti wakil negeri, kelab, wanita dan kumpulan pakar.

Persetujuan 18 ahli gabungan FAM untuk menyokong statut baharu badan induk itu bukan saja membantu memperkukuhkan tadbir urus badan berkenaan.

Malah, ini turut membantu menyelaraskan pentadbiran bola sepak negara dengan standard yang diamalkan di peringkat AFC serta FIFA.

Claim Money Packet TnG