Ketua Pegawai Eksekutif (COO) Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad mengakui kagum dengan prestasi yang dipamerkan Malaysian University FT (MUFT) dalam saingan Piala FA 2024.
Malaysian University menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan menjadi wakil pertama Liga A1 Semi Pro layak ke suku akhir Piala FA. Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan PDRM FC di pusingan 16 pasukan terbaik pada 12 Jun lalu.
Pasukan yang dibimbing Ridzuan Abu Shah itu kemudiannya berhadapan dengan juara Liga Super musim 2023, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di peringkat suku akhir.
Meskipun tewas dengan keputusan agregat 13-0, Malaysian University berusaha memberi saingan kepada pasukan gergasi selatan tanah air itu dalam dua aksi suku akhir pada 28 Jun dan 5 Julai lepas.
Raimi melihat pencapaian yang dilakar pasukan itu menaikkan lagi nama Liga A1 Semi Pro dan memberi inspirasi kepada pasukan-pasukan lain.
“Kredit juga harus diberikan kepada MUFT sebab mereka pasukan liga (Liga A1 Semi Pro) pertama layak ke suku akhir.
“Dan mereka layak ke suku akhir pun bukan layak terus ya. Mereka menang dengan PDRM 3-0. Jadi, kami bangga dengan MUFT di peringkat AFL kerana MUFT salah satu daripada pasukan AFL,” katanya kepada media selepas Taklimat Pasukan dan Local General Coordinator (LGC) Liga A2 Amateur Al-Ikhsan Cup 2024.
Malaysian University selepas ini akan turun menentang Machan FC pada 9 Julai ini untuk aksi terbaru Liga A1 Semi Pro musim 2024/25.