Ahli Gabungan Pertahan Jawatan Presiden Kehormat FAM
MakanBola
FA Malaysia

Dua ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganggap jawatan Presiden Kehormat yang disandang Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin perlu dipertahankan.

Perkara ini dinyatakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri menerusi satu kenyataan media pada Rabu.

Ini susulan kenyataan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John bahawa jawatan tersebut dilihat tidak relevan dengan perkembangan bola sepak semasa.

Mohd Saiful memaklumkan tanggapan bahawa jawatan Presiden Kehormat FAM boleh dibuang sebagai tidak tepat dan boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli gabungan dan pemegang taruh bola sepak negara.

“Pelantikan Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat FAM telah diluluskan secara sah oleh ahli-ahli gabungan menerusi Kongres Luar Biasa FAM 2025.

“Justeru, sebarang tanggapan bahawa jawatan tersebut akan ‘dibuang’ adalah tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli gabungan serta pemegang taruh bola sepak negara,” katanya.

Mohd Saiful turut mendedahkan jawatan Presiden Kehormat FAM ada dalam struktur pentadbiran baharu badan induk itu. Malah, ia turut diperuntukkan dalam cadangan pindaan statut yang bakal dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa FAM.

“Malah, jawatan Presiden Kehormat itu sendiri turut diperuntukkan dalam cadangan pindaan Statut FAM yang disediakan dengan penglibatan serta panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Ini menunjukkan bahawa kewujudan jawatan tersebut bukan sahaja diiktiraf, malah terus diberi ruang dalam kerangka tadbir urus baharu yang dicadangkan,” tambahnya.

Perkara ini turut disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Mohd Azizudin Mohd Shariff. Ini berdasarkan draf cadangan statut yang diedarkan kepada semua ahli gabungan FAM pada minggu lalu.

“Berdasarkan cadangan statut baharu yang telah diedarkan kepada ahli-ahli gabungan FAM minggu lalu, jawatan Presiden Kehormat masih wujud dan dikekalkan dalam struktur organisasi FAM.

“Malah, statut baharu tersebut merupakan hasil proses reformasi yang dilaksanakan dengan penglibatan serta panduan daripada AFC sendiri.

“Justeru, kenyataan bahawa jawatan tersebut akan dihapuskan adalah sesuatu yang menghairankan kerana peruntukan mengenainya masih jelas terkandung dalam draf statut yang dicadangkan untuk diluluskan oleh Kongres,” ujarnya.

Azizudin turut melihat jawatan Presiden Kehormat FAM seharusnya dikekalkan. Ini kerana jawatan tersebut hanya berperanan simbolik yang dianugerahkan sebagai tanda penghormatan tertinggi kepada individu tertentu.

Hamidin dilantik ke jawatan tersebut selepas Kongres Luar Biasa FAM 2025 meluluskan usul pelantikan mantan presiden badan induk itu.

Beliau menjadi Presiden Kehormat FAM kedua selepas Almarhum KDYMMP Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

Claim Money Packet TnG