Ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menentukan figura yang akan mempengerusikan Kongres Luar Biasa FAM pada 4 Jun ini.
Kebiasaannya, jawatan pengerusi kongres digalas oleh Setiausaha Agung FAM. Meskipun begitu, wartawan Astro Arena, Fina Nasrom memaklumkan Kongres FAM kali ini dijangka berbeza.
Ini kerana menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, ahli perwakilan FAM berpeluang menentukan siapa figura yang dirasakan sesuai untuk memikul tugas sebagai pengerusi kongres.
Pemilihan pengerusi kongres akan diadakan pada hari sama kongres berlangsung iaitu 4 Jun. Pemilihan pengerusi mesyuarat akan ditentukan melalui undian yang memerlukan majoriti mudah.
Mana-mana figura yang mendapat undian majoriti mudah oleh ahli-ahli perwakilan FAM akan memikul tugas sebagai pengerusi kongres berkenaan.
Kongres FAM kali ini dianggap kongres paling penting kerana di sinilah, laporan audit badan induk itu termasuk cadangan pindaan statut dibentangkan oleh pasukan petugas AFC.
Pasukan petugas AFC diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany bertanggungjawab melaksanakan audit ke atas semua aspek tadbir urus FAM termasuk statut.
Laporan audit itu merupakan sebahagian daripada proses reformasi dalaman FAM selepas kepimpinan badan induk itu meletak jawatan pada Januari lalu.