Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berharap kualiti padang Stadium Negeri Sarawak dapat ditambah baik demi kebaikan pasukan itu.
Harapan itu dizahirkan beliau selepas aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Penang FC di Kuching pada 24 Januari lalu.
Aksi tersebut menyaksikan The Cats mara ke suku akhir selepas meraih kemenangan 2-1 secara agregat ke atas Sang Harimau Kumbang.
Meskipun begitu, cuaca hujan dan keadaan padang yang kurang elok sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.
Faktor sama turut menghalang penyerang baharu Kuching City, Jerome Mpacko Etame membuka akaun jaringan bersama pasukan itu.
Atas sebab itu, Aidil berharap kualiti padang Stadium Negeri Sarawak ditambah baik. Ini kerana ini dapat membantu pasukan itu beraksi lebih baik di hadapan penyokong setia mereka.
“Saya rasa kasihan kepada Jerome. Jika padang lebih baik, dia pasti boleh menyudahkannya,” katanya seperti dilaporkan TVS.
“Keadaan padang menyebabkan bola melantun sekaligus menyukarkan permainan dan ia perlu diperbaiki.”
Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memaklumkan Stadium Negeri Sarawak bakal menjalani proses penaiktarafan dengan kos RM7.05 juta.
Kerja naik taraf stadium meliputi kerja penambahbaikan pada bahagian tempat duduk, fasiliti dan kemudahan termasuk padang.