Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak tidak mahu meletakkan tekanan kepada pemainnya.
Perkara ini dilihat selepas perancang tengah pasukan, Danial Amier dilihat kembali menemui rentak permainan sebenar.
Pemain berusia 27 tahun itu dipinjamkan dari kelab asalnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan mendapat kepercayaan pengendali kelahiran Singapura itu untuk beraksi.
Katanya, beliau tidak mahu bebanan diletakkan kepada pemain tersebut agar beliau dapat terus menambah baik permainannya.
“Bagi saya jangan letakkan tekanan kepada dia (Danial Amier). Beliau sudah lama tidak bermain, masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dalam permainannya.
“Oleh sebab itulah, kami perlu berhati-hati dalam menguruskannya terutamanya dari segi kecederaan dan tahap kecergasannya. Sudah semestinya Danial perlu menambah baik beberapa perkara.
Aidil juga memberi nasihat kepada Danial Amier agar terus menggandakan usaha sekiranya mahu merebut tempat bersama skuad kebangsaan.
“Untuk dia kekal beraksi pada tahap berbeza seperti di JDT dan juga pasukan kebangsaan, kamu perlu sangat cergas. Itulah tekanan untuk bermain bola sepak pada peringkat antarabangsa sekarang.
“Kita sedang bekerja keras untuk membantunya dan saya harap kita dapat menyaksikan lebih daripada apa yang ditampilkan hari ini,” ujar Aidil Sharin.
Kuching City akan bertemu Penang dengan kedua-dua pasukan mahu membawa momentum terbaik menjelang aksi minggu ke-8.