Aidil Sharin Minta Peminat Kuching City Sabar
MakanBola
Kuching City FC

Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berharap penyokong pasukan itu dapat bersabar dengan prestasi pasukan itu.

Selepas tewas 2-1 di tangan Phnom Penh Crown dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Kuching City kemudiannya diikat tanpa jaringan oleh Kelantan City FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA.

Selain terikat tanpa jaringan di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), kedua-dua pasukan juga beraksi dengan 10 pemain. Ini selepas Nazri Muhamad dan Jerome Mpacko Etame masing-masing dilayangkan kad merah.

Meskipun begitu, Aidil memilih untuk kekal optimis dan berharap penyokong dapat bersabar. Ini kerana berdasarkan prestasi semasa, Kuching City menduduki tempat kedua liga dan masih berpeluang menempah tiket separuh akhir Piala FA.

“Apa jua kejohanan yang kami sertai, kami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik. Dengan segala sumber dan barisan pemain yang ada, kami akan melakukan yang terbaik. Mengenai Kuching City, anda perlu faham bahawa ini kali pertama mereka menghadapi segala cabaran ini.

“Justeru, saya berharap para penyokong akan bersabar dengan pasukan ini kerana segala-galanya masih baharu bagi kelab ini. Sebelum ini, tiada siapa yang bercakap tentang Kuching City. Namun kini kami berada di sini dan kami memberikan segala kudrat kami.

“Saya juga tidak berpendapat prestasi kami buruk. Kami tidak tewas dalam saingan liga, kami masih menduduki tempat kedua.
Dalam saingan piala, peluang kami masih terbuka luas, termasuk dalam Piala FA. Selain itu, kami mempunyai kelebihan yang baik jika kami berjaya memenangi perlawanan di tempat sendiri,” katanya.

Kuching City berharap dapat bangkit dalam aksi timbal balik di Stadium Taha Ariffin, Kuching pada 10 Oktober ini.