Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tetap bangga dengan semangat juang anak buahnya meskipun tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Selepas dibelasah 4-0 oleh Selangor FC pada 13 September lalu, The Cats berdepan satu lagi cabaran sukar iaitu JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Meskipun beraksi di gelanggang lawan, Kuching City berjaya mengekang Harimau Selatan daripada menjaringkan gol pada separuh masa pertama.
JDT kemudiannya meraih kemenangan pada separuh masa kedua menerusi Bergson da Silva dan Juan Muniz. Manakala Luiz Fernando Welter menjaringkan gol buat The Cats.
Aidil mengakui bukan mudah buat mana-mana pasukan untuk berhadapan dengan JDT di SSI. Ini kerana Harimau Selatan suka menjaringkan gol awal dan meraih kemenangan besar di laman mereka.
Atas sebab itu, Aidil bangga kerana Kuching City bukan saja berjaya mengelak daripada menjadi mangsa belasahan tuan rumah. Malah, aksi ini dijangka membawa pasukan itu lagi maju ke hadapan selepas ini.
“Saya fikir alhamdulillah, para pemain sudah berikan segalanya. Mereka bermain menentang pasukan yang hebat. Saya fikir datang ke sini (SSI) bukan mudah.
“Seperti yang anda lihat, banyak pasukan yang datang ke sini dan dibelasah. Tapi saya fikir para pemain bermain dengan bagus dan berdisiplin.
“Dan alhamdulillah, kita secara perlahan-lahan menjadi lebih bagus. Jadi, perlawanan ini satu aksi yang bagus untuk kita dan meningkatkan keyakinan dan jadi lebih baik, Insya Allah. Kita akan jadi lebih baik selepas perlawanan ini,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Kuching City kekal di tangga keempat liga selepas 11 perlawanan dengan 14 mata.
Selepas ini, The Cats bakal mengalihkan fokus kepada pasukan Negeri Sembilan FC untuk aksi liga seterusnya pada 18 Oktober ini.