Ainsyah Murad Jalani Percubaan Di Belanda
MakanBola
FA Malaysia

Ainsyah Murad berpotensi menjadi pemain wanita Malaysia terbaru beraksi di luar negara.

Ini kerana penyerang skuad bola sepak wanita Selangor FC itu dijemput menyertai sesi percubaan selama dua minggu bersama kelab Belanda, PEC Zwolle Vrouwen.

“Pemain Selangor FC Women, Ainsyah Murad telah dijemput untuk sesi percubaan selama dua minggu bersama PEC Zwolle Vrouwen di Belanda.

“Kelab mengucapkan selamat berjaya tatkala beliau terus mewakili Selangor FC Women dan bola sepak wanita Malaysia di peringkat antarabangsa,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Ainsyah telah membuktikan kredibiliti dirinya sebagai peledak berbisa dalam arena bola sepak wanita negara. Beliau merupakan penjaring kedua terbanyak Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2025 dengan 17 gol.

Kelebihan itu juga menjadikan Ainsyah antara ayam tambatan jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli di bahagian serangan. Beliau menjadi sebahagian daripada skuad negara yang bersaing dalam Piala Wanita AFF baru-baru ini.

Sekiranya semua berjalan lancar, Ainsyah berpotensi mengikut jejak rakan sepasukan seperti Nurul Azurin Mazlan dan Henrietta Justine yang pernah beraksi di luar negara.