Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan usaha mereka bagi menghasilkan pemain-pemain yang berkualiti melalui Akademi JDT. Pelbagai kejayaan telah pun diraih oleh Akademi JDT sejak beberapa tahun lepas.
Baru-baru ini, Akademi JDT juga tidak ketinggalan menghantar skuad Bawah 12 tahun mereka menyertai kejohanan Piala Antarabangsa Garuda III di Bandar Bogor, Indonesia. Kejohanan antarabangsa itu turut disertai oleh negara-negara Asia yang lain seperti Indonesia, Jepun, Thailand, Filipina, Brunei dan Singapura.
Melalui ciapan Twitter, Juan Bapakaw, JDT B12 melalui satu kejohanan yang baik selepas berjaya menang dengan jaringan yang besar sebanyak dua kali walaupun tewas pada aksi pembukaan kepada pasukan tuan rumah.
Pada perlawanan pertama, JDT B12 telah tewas kepada pasukan tuan rumah Asiop Merah dengan keputusan 2-1. Mereka kembali bangkit dalam perlawanan kedua apabila berjaya membelasah wakil Singapura, Woodlands Warriors dengan keputusan 13-0.
JDT B12 meneruskan momentum kemenangan dengan membelasah wakil Indonesia, DY FC Batam dengan keputusan 9-0. Dengan dua kemenangan itu, JDT B12 layak ke pusingan suku akhir yang dijadualkan akan berlangsung hari ini.
Selain JDT B12, terdapat beberapa lagi wakil dari Malaysia yang turut layak ke suku akhir iaitu National Football Development Program (NFDP), Hijau Kuning FC dan Akademi Tunas Putrajaya. Masing-masing akan menentang wakil Indonesia di suku akhir.