Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) melihat empat bintang Selangor FC sebagai ancaman utama pasukan itu menjelang aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia.
Hal ini dinyatakan pengendali pasukan Pantai Timur itu, Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila ditanya tentang pemain Selangor yang berpotensi menggugat Kelantan TRW.
Empat pemain yang dimaksudkan Akmal Rizal ialah Chrigor Moraes, Faisal Halim, Mukhairi Ajmal dan Quentin Cheng.
Bekas penyerang kebangsaan itu bukan saja melihat bahagian sayap The Red Giants diketuai Faisal sebagai ancaman utama pasukan.
Malah, Akmal Rizal melihat mereka perlu mencari cara untuk memastikan bola tidak sampai kepada Chrigor. Ini kerana penyerang Brazil itu merupakan penjaring terbanyak Liga Super ketika ini dengan 16 gol.
“Kita perlu beri lebih perhatian di bahagian sayap kerana banyak serangan dilancarkan dari bahagian sayap menerusi Quentin Cheng, Mukhairi Ajmal dan Faisal Halim.
“Tiga pemain ini perlu diberi perhatian khusus kerana mereka mampu melakukan hantaran lintang. Dan pastinya (Chrigor) Moraes, berada dalam keadaan terbaik.
“Beliau ketika ini penjaring terbanyak dalam saingan liga. Jadi, kita perlu sentiasa mengawal pergerakan beliau dalam kotak penalti kita,” katanya kepada Nadi Bola.
Kelantan TRW dan Selangor akan berentap di Kota Bharu pada Isnin. Aksi ini juga aksi balas dendam buat tuan rumah selepas tewas kepada lawan sama pada 22 November lalu.