Akmal Rizal Dilantik Jurulatih Baharu Kedah FA
MakanBola
Kedah FA

Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sah memikul tugas sebagai jurulatih baharu Kedah FA.

Pelantikan bekas penolong jurulatih Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) itu diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Haji Abdul Rahman bin Abdullah.

“Bagi menghadapi cabaran musim baharu serta memperkukuhkan struktur pasukan, pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah membuat penelitian yang sewajarnya dalam usaha memastikan hala tuju pasukan terus berada di landasan yang tepat.

“Dengan penuh sukacita, saya bagi pihak KFA ingin mengumumkan pelantikan Coach Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai Ketua Jurulatih Kedah FA dalam mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro bagi musim 2026-2027.

“KFA percaya pelantikan ini mampu membawa nafas baharu kepada pasukan, di samping membantu merealisasikan perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang telah dirangka oleh persatuan,” katanya.

Pelantikan ini sekaligus mengesahkan khabar angin yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi bahawa Akmal Rizal akan memimpin pasukan itu musim hadapan.

KFA turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Victor Andrag kerana membimbing Kedah FA mengakhiri kempen Liga A1 musim 2025/26 di tempat ketiga.

Victor dilaporkan antara beberapa jurulatih dalam radar Penang FC sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/27. Selain beliau, turut berada dalam senarai ialah Nidzam Jamil dan Tan Cheng Hoe.