Aksi ‘Spiderman’ Azurin Mazlan Buat Pemain Palestin Menjerit Atas Padang
MakanBola
FA Malaysia

Tindakan hebat penjaga gol Malaysia, Nurul Azurin Mazlan menyelamatkan tendangan penalti buatkan salah seorang pemain Palestin menjerit kecewa bagai tidak percaya.

Skuad Malayan Tigress turun dalam aksi pertama kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 menentang Palestin di Dushanbe berbekalkan misi memulakan kempen dengan 3 mata.

Jurulatih Malaysia, Joel Cornelli menurunkan barisan terbaik yang dimiliki oleh pasukan kebangsaan ditunjangi oleh Steffi Sarge tatkala Azurin Mazlan diberi peranan mengawal pintu gol negara.

Aksi berlangsung seimbang dengan kedua-dua negara saling merencana asakan dan gerakan ke arah kawasan lawan bagi memburu jaringan pertama perlawanan di permulaan aksi ini.

Pada minit ke-24, pasukan wanita negara dikejutkan dengan keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Palestin atas dakwaan kekasaran yang dilakukan oleh Fazira Sani.

Walaupun cuba dibantah oleh kapten negara, Steffi Sarge namun keputusan tersebut masih kekal dan Palestin tetap diberikan tendangan penalti yang memberi peluang untuk jaringan pertama.

Azurin Mazlan yang juga penjaga gawang kelab Albania, KFF Vllaznia tampil cemerlang apabila merebahkan badan ke sisi kanan pintu gol untuk menepis tendangan penalti oleh Dima Alrumhi.

Malah, Dima Alrumhi memiliki satu lagi peluang hasil lantunan bola selepas sepakan penalti itu namun tendangan keduanya tinggi melepasi gawang meski cuba dihalang kali kedua oleh Azurin Mazlan.

Aksi hebat Azurin menepis tendangan dengan hanya sebelah tangan dan menghadang rembatan susulan itu membuatkan seorang lagi pemain Palestin iaitu Sara Kord menjerit hampa akibat terlampau kecewa.

Persembahan cemerlang Azurin tidak terhenti di situ, malah penjaga gawang berusia 25 tahun itu tampil dengan tenang mengawal kubu Malaysia hingga tamat perlawanan 90 minit.

Keputusan akhir, Malayan Tigress mencatat kemenangan 1-0 ke atas Palestin menerusi jaringan lewat oleh pemain gantian, Farahiyah Ridzuan pada minit ke-85 untuk Malaysia langkah kanan.