Selangor FC terpaksa melupakan khidmat pemain sayap Cape Verde, Alvin Fortes menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Jeonbuk Hyundai Motors.
Sebelum ini, pasukan yang dibimbing Nidzam Jamil itu terpaksa melupakan khidmat tiga tonggak utama akibat kecederaan iaitu Noor Al-Rawabdeh, Safuwan Baharudin dan Mukhairi Ajmal.
Noor terpaksa berehat selama sembilan bulan selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL). Manakala Safuwan dan Mukhairi pula masih belum cergas kerana masih melalui proses pemulihan kecederaan.
Kini, Merah Kuning terpaksa melupakan khidmat Fortes. Bekas pemain remaja Feyenoord itu terpaksa disisihkan untuk aksi menentang Jeonbuk kerana masih belum pulih daripada kecederaan lutut.
Ini selepas wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi berkongsi berita terbaru pasukan Selangor kepada Nadi Bola.
Ketiadaan Fortes bakal memberi tamparan hebat kepada Selangor kerana beliau bukan saja penjaring terbanyak pasukan dengan 10 gol dalam semua kejohanan.
Malah, bekas pemain sayap Ratchaburi itu cukup digeruni kerana kerap mengancam kubu pertahanan lawan dari sebelah kanan.
Nidzam memiliki pilihan pemain import terbaru Merah Kuning, Omid Musawi, Danial Asri, Syahir Bashah, Harry Danish dan Haykal Danish Mohd Haizon sebagai alternatif buat Fortes.
Selangor bakal berdepan Jeonbuk di Stadium MBPJ pada 23 Oktober untuk merebut posisi pendahulu Kumpulan H ACL2.