Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) telah mengadakan satu sesi perbincangan rasmi bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan pelatih bola sepak negara.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh pelatih merangkumi aspek teknikal, akademik dan kebajikan.
Sesi perbincangan tersebut telah dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), iaitu Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee; Penolong Pengarah Teknikal NFDP, Dato’ Dollah Salleh; serta Pengurus Besar NFDP, Muhammad Yusuf Ibrahim. Turut hadir ialah Pengurus Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, Mohd Zairul Faiz Zanudin, dan Pengetua Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Zaidy Mohd Yunus.
Antara perkara utama yang dibincangkan dan dipersetujui dalam sesi tersebut ialah cadangan pengambilan seramai 35 orang pelatih AMD bermula tahun 2027, tertakluk kepada kelulusan Bahagian Sukan, Kesenian dan Kebudayaan (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selain itu, pelatih AMD juga akan terlibat sepenuhnya dalam setiap program yang dianjurkan oleh SSMP sebagai sebahagian daripada usaha penyelarasan pembangunan pelatih.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menyelaras lebih awal jadual pertandingan dan kejohanan bagi memastikan persediaan akademik pelatih dapat diberi keutamaan, khususnya dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Langkah ini dilihat penting bagi memastikan keseimbangan antara komitmen sukan dan akademik dapat dicapai secara berkesan.
Dalam usaha memastikan penyesuaian pelatih berjalan lancar, penilaian secara berkala akan dilaksanakan selain pengurusan penempatan pelatih secara berfasa melalui pendekatan soft-landing. Di samping itu, pasukan AMD Bawah 16 Tahun juga dibenarkan menggunakan nama Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dalam penyertaan Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (Liga KPM).
AMD turut menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong aspek persekolahan, disiplin serta kebajikan pelatih sepanjang tempoh pengajian dan latihan mereka. Kerjasama erat antara AMD dan SSMP ini mencerminkan iltizam semua pihak dalam melahirkan pelatih yang holistik, seimbang dan bersedia menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara pada masa hadapan.