Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Datuk Ong Kim Swee menggariskan objektif jangka panjang program tersebut.
Hal ini dinyatakan beliau apabila berkongsi sentimen kembali ke FAM sebagai pengarah teknikal program tersebut.
Kim Swee mengingatkan kehadirannya di NFDP bukan untuk menggantikan sesiapa atau mengejar pengiktirafan dalam masa singkat.
Sebaliknya, objektif jangka panjang beliau untuk program itu ialah menjadikan ia sebagai laluan lebih ramai bakat baru yang menyertai Harimau Malaya pada masa hadapan.
“Perjalanan ini bukan untuk menggantikan sesiapa atau mengejar pengiktirafan pantas. Tetapi untuk membina laluan dan menghasilkan pemain kebangsaan berpotensi pada masa hadapan.
“Bersaing di peringkat tertinggi bola sepak remaja di rantau ini dan satu hari nanti, di pentas dunia ialah sebahagian daripada impian jangka panjang,” katanya di X.
Kim Swee memikul tugas sebagai Pengarah Teknikal NFDP selepas meninggalkan kelab Indonesia, Persik Kediri.
Beliau turut membuat perubahan dengan memperkenalkan barisan muka baharu kejurulatihan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) baru-baru ini.