Seorang peminat Manchester United di Malaysia berseloroh apabila menyamakan Ruben Amorim dengan bekas jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagopal.
Baru-baru ini, skuad Manchester United di bawah bimbingan Ruben Amorim hadir ke Malaysia bagi mengikuti Jelajah Asia dengan salah satu aktiviti dinantikan adalah aksi menentang ASEAN All-Stars.
Dalam satu sesi temu bual oleh MUTV, sekumpulan peminat Manchester United tampak teruja menyambut ketibaan para pemain The Red Devils ketika sesi latihan diadakan di Bukit Jalil.
Ketika ditanya tentang sambutan terhadap Ruben Amorim di Malaysia, salah seorang daripada mereka telah menyamakan tahap pengurus kelahiran Portugal itu dengan bekas jurulatih negara, Datuk K. Rajagopal.
”Saya rasa (Ruben) Amorim berada di tahap yang sama seperti Datuk K. Rajagopal,” kata seorang peminat yang dikenali sebagai Adzim Hariz.
”Datuk K. Rajagopal adalah seorang lagenda di sini (Malaysia),” jelas beliau kepada hos MUTV tersebut.
Komen Adzim Hariz yang juga pempengaruh terkenal dengan nama Mat Never Zero itu dijadikan hiburan penyokong ketika mana Amorim masih belum memenangi trofi bersama United.
Manakala, Datuk K. Rajagopal dikenali sebagai individu yang membawa Malaysia memenangi pingat emas ketika di Sukan SEA Laos pada edisi 2009 dan muncul selaku juara Piala AFF Suzuki 2010.