Amri Yahyah Buktikan Kakinya Masih Bergerak Seiring Bersama Otaknya

Amri Yahyah 4 Amri Yahyah Buktikan Kakinya Masih Bergerak Seiring Bersama Otaknya
Melaka United

Penyerang sensasi Sabah FC, Mohd Amri Yahyah kembali menemui sentuhan jaringan apabila beliau meledak dua gol buat pasukan The Rhinos ketika aksi menentang Melaka United hari ini.

Pemain berusia 41 tahun ini telah meranapkan hasrat pasukan pelawat, Melaka United untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata di Stadium Likas. Pengalaman otai yang masih berbisa ini sekaligus memberi kemenangan bergaya buat Sabah FC.

Percaturan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dengan memasukkan Amri sebagai pemain gantian pada babak kedua permainan jelas membuahkan hasil apabila pada minit ke-61 permainan, Amri meledak cantik dengan satu voli menewaskan penjaga gol Melaka United, Ahmad Asyraaf. 

Tidak cukup dengan itu, detik akhir sebelum wisel penamat dibunyikan, Amri menjadi watak penting pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-91 permainan. Amri menyempurnakan hantaran daripada Farhan Roslan dengan satu rembatan kencang menggegar jaring. 

Dua jaringan Amri menjadikan Sabah FC berjaya mengutip tiga mata penuh di laman sendiri, mengatasi Melaka United, 2-1.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Amri menjadi wira buat Sabah FC menewaskan Melaka United. Dua gol turut disumbat Amri dalam perlawanan sebelum ini.