Malaysia berjaya membawa pulang satu mata berharga apabila berjaya mengikat pasukan gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir perlawanan peringkat Kumpulan E Piala Asia yang berlangsung penuh dramatik.
Korea Selatan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Jeong Woo-Yeong, sebelum Faisal Halim dan Arif Aiman mengejutkan pasukan ke-22 dunia itu dengan meletakkan Harimau Malaya di hadapan ketika separuh masa kedua perlawanan.
Penjaga gol negara, Syihan Hazmi berdepan situasi sukar untuk menepis sepakan percuma berkelas dunia daripada Lee Kang-In bagi membolehkan Korea Selatan menyamakan kedudukan di minit ke-83 perlawanan.
Malaysia hampir berputih mata apabila pasukan lawan dianugerahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Son Heung-Min, sebelum Romel Morales muncul wira Harimau Malaya apabila berjata menyamakan kedudukan di penghujung perlawanan.
Situasi ini membolehkan Malaysia berjaya memenuhi sasaran yang ditetapkan,iaitu untuk mengumpul 1 mata dalam kejohanan Piala Asia ini.
Taburan data jelas menunjukkan Korea Selatan mendominasi sebahagian besar perlawanan, di mana mereka mencatatkan 77 peratus penguasaan bola berbanding Malaysia yang sekadar mencatatkan 23 peratus penguasaan bola.
Dominasi ini turut membantu Taeguk Warriors untuk memperoleh peratusan menjaringkan gol (xG) yang lebih besar iaitu 2.26xG,berbanding Malaysia yang hanya mencatatkan 1.27xG.
Korea Selatan juga cenderung untuk bermain dengan hantaran-hantaran pendek berbanding Malaysia yang memilih untuk menjadikan hantaran ke depan dengan segera sebagai pilihan utama dalam menggerakkan serangan mereka.
Situasi ini dapat digambarkan menerusi peratusan ‘Long Pass Share’, tatkala semakin rendah nilai ‘Long Pass Share’, maka semakin cenderung sesuatu pasukan bermain secara hantaran-hantaran pendek dan sebaliknya.
Penguasaan bola ini turut didorong oleh mentaliti pemain Korea dalam menekan pemain lawan setiap kali kehilangan bola. Situasi ini dibuktikan oleh bacaan Pressing Intensity (PDPA) yang dicatatkan dalam perlawanan ini adalah 4.4, sementara Malaysia mencatatkan 14.9 PDPA.
Sebagai rujukan, semakin tinggi bacaan PDPA, semakin agresif pemain sesebuah pasukan melakukan tekanan terhadap pemain lawan.
Tekanan agresif ini berjaya menggagalkan sebarang cubaan Malaysia untuk melancarkan transisi serangan, sekaligus merampas semula penguasaan bola dengan cukup efektif.
Situasi ini turut menyebabkan Malaysia bergelut untuk mengawal tempo permainan terutamanya pada separuh masa pertama.
Dominasi ini juga turut dapat diperhatikan apabila kita membandingkan ‘Passing Networks’ antara kedua-dua pasukan yang jelas menunjukkan Korea Selatan lebih menikmati penguasaan bola sesama pemain mereka dalam usaha untuk mencari sebarang bukaan ruang di antara pemain Malaysia.
Average Passing Networks menunjukkan dominasi Korea Selatan dalam aspek penguasaan bola.
Data di atas pula menunjukkan jumlah kombinasi hantaran yang melibatkan pemain Korea Selatan.
Average Passing Network di atas menunjukkan corak hantaran yang dilakukan oleh pemain Malaysia yang berorientasikan hantaran-hantaran panjang.
Keadaan ini memberi kesan kepada jumlah kombinasi hantaran yang melibatkan pemain-pemain skuad negara dalam perlawanan ini.
Namun begitu, keputusan akhir perlawanan jelas tidak selari taburan data yang dicatatkan. Malaysia berjaya menjaringkan 3 gol dan hanya melepaskan gol menerusi situasi bola mati sahaja.
Maka persoalan yang timbul adalah, adakah taburan data boleh menggambarkan kualiti sesebuah pasukan secara total?
Pengurus Barcelona, Xavi pernah menyatakan bahawa data bukanlah segalanya dalam bola sepak kerana ia tidak dapat mengukur semua perkara dalam bola sepak seperti kualiti dalam membuat keputusan yang dilakukan oleh para pemain.
Namun begitu, kepesatan teknologi masa kini telah menjadikan permainan bola sepak menjadi lebih kompleks berbanding dahulu.
Oleh itu, bagaimana Malaysia berjaya mengikat Korea Selatan meskipun lebih banyak bermain di belakang bola dalam perlawanan ini?
Jawapannya adalah berbalik kepada prinsip asas permainan bola sepak yang berjaya dipenuhi oleh para pemain Melaysia secara individu, unit, dan berkumpulan.
Pasangan Double Pivot negara, Stuart Wilkin dan Brendan Gan turut membawa dinamik dalam menyokong garisan tekanan pertama (first pressing lines) Malaysia yang diketuai trio Aruf Aiman-Darren Lok-Faisal Halim.
Menerusi pendekatan secara High-to Mid Blocks 5-2-3, Arif Aiman dan Faisal Halim ditugaskan untuk memberi tekanan kepada pertahanan tengah Korea yang menerima penguasaan bola, sementara Darren Lok menumpukan perhatiannya untuk mengawal Pivot Korea Selatan.
Kegusaran awal sudah pasti tertumpu kepada isu ‘cohesion’ yang berlaku dalam dua perlawanan awal sebelum ini yang berpunca dari kegagalan first pressing lines kita dalam melakukan tugasan menekan pemain lawan, sekaligus menyebabkan Double Pivot pasukan terdedah kepada situasi kurang pemain (underloaded) di kawasan tengah.
Pada perlawanan ini, Brendan Gan dan Stuart cemerlang untuk menyediakan sokongan kepada kedudukan first pressing lines pasukan yang berpotensi untuk ‘dicarikkan’ menerusi ‘ball circulations’ serta ‘fluidity’ permainan Korea Selatan ketika mereka membina gerakan serangan.
Disiplin yang dilakukan oleh Double Pivot ini menggagalkan usaha Korea Selatan untuk menebuk blok pertahanan Malaysia di bahagian tengah, sekaligus mendorong mereka untuk banyak bermain di bahagian sisi padang serta mensasarkan ruang di belakang barisan pertahanan Malaysia.
Situasi tersebut menyebabkan serangan Korea Selatan menjadi lebih mudah untuk dijangka, dan kredit juga harus diberikan kepada rantaian bek berlima yang cukup berdisiplin serta berjaya menduga gerakan pasukan lawan dengan baik untuk mengekang sebarang percubaan merbahaya pasukan lawan itu.
Situasi di atas merupakan antara contoh keberkesanan organisasi bertahan pasukan Malaysia. Menerusi situasi lontaran ke dalam, Malaysia mengekalkan struktur bertahan mereka secara Mid Blocks 5-3-2.
Komitmen Darren Lok dalam melakukan tugasan marking menyebabkan dirinya ditarik keluar oleh pemain lawan.
Penggiliran tugasan untuk mengawal ‘pivot’ pasukan Korea Selatan bersama Stuart Wilkin membolehkan Malaysia menutup pilihan hantaran Korea ke kawasan tengah, sekaligus melindungi Brendan Gan dalam situasi underloaded di kawasan tengah.
Sebaik berada di kedudukan yang lebih stabil, Darren Lok mengarahkan Wilkin untuk segera melakukan shifting bagi mengimbangi kedudukan Brendan Gan yang terlebih dahulu melakukan tindakan tersebut seiring dengan pergerakan bola, serta kedudukan pemain lawan.
Situasi ini membolehkan first pressing lines Malaysia untuk memulakan tugasan bertahan dengan struktur 5-2-3 Mid Blocks.
Kedudukan Faisal Halim yang cenderung untuk menutup ruang hantaran buat pemain pertahanan kiri dan kanan Korea telah membuka pilihN hantaran alternatif buat pasukan lawan di bahagian tengah.
Isu ini berpotensi untuk meruntuhkan cohesion pasukan Malaysia namun Wilkin mempamerkan disiplin yang tinggi untuk mengawal ketat pemain tengah lawan.
Brendan Gan juga dilihat memperbetulkan kedudukannya bagi menyediakan ‘covering‘ buat Wilkin yang keluar menekan lawan.
Keadaan ini mendorong pasukan lawan untuk bermain di kawasan sisi padang ekoran tekanan yang diberikan oleh Wilkin.
Brendan Gan segera melakukan shifting bagi menyediakan sokongan buat Corbin-ong, sementara Wilkin meneruskan kawalan ketat terhadap pemain tengah lawan yang dikawalnya sebelum ini.
Organisasi bertahan ini membolehkan Malaysia untuk meneutralkan ancaman serangan pasukan alwan.
Situasi di atas pula merupakan detik awal sebelum jaringan penyamaan Malaysia dijaringkan.
Pada awalnya, first pressing lines Malaysia sedang memperbetulkan kedudukan mereka ketika Korea Selatan menggerakkan binaan serangan mereka.
Kedudukan first pressing lines yang kurang ideal mendorong Faisal Halim memberikan isyarat buat Brendan Gan dalam mengawal pemain pemain tengah Korea bagi menyediakan sokongan buat Darren Lok.
Brendan Gan melakukan shifting bagi menyokong kedudukan Wilkin yang melakukan tekanan buat pemain lawan.
Brendan Gan juga berada di kedudukan ideal bagi memastikan beliau dapat melihat dua pemain kreatif Korea, iaitu Son Heung-Min dan Hwang In-Beom.
Brendan Gan melakukan pengacauan yang tepat untuk menutup pilihan hantaran terhadap Hwang In-Beom
Brendan Gan sekali lagi menduga tepat untuk turun ke bawah bagi mengawal Son Heung-Min setelah membaca isyarat badan pemain bek sisi lawan untuk melakukan hantaran jauh.
Pilihan hantaran yang terbatas mendorong bek sisi Korea untuk melakukan hantaran ke belakang kepada rakan sepasukan, sekaligus menjadi memanggil Darren Lok dan Faisal Halim untuk melakukan tekanan dengan agresif.
Detik ini membolehkan Malaysia merampas penguasan bola yang menghasilkan gol penyamaan menerusi Faisal Halim.
Jaringan penyamaan tersebut ternyata menyemarakkan semangat juang barisan pemain negara,sekaligus mengubah rentak serta keyakinan untuk mereka menekan lawan.
Semangat juang tinggi anak buah Kim Pan-Gon wajar diberikan pujian kerana sifat tidak mudah mengalah sehingga wisel penamat dibunyikan membolehkan malaysia menyamakan kedudukan di penghujung perlawanan.
Kejayaan mencuri satu mata berharga ini dijangka bakal menjadi tonik istimewa buat Harimau Malaya apabila mereka menyambung tugasan antarabangsa bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bulan Mac nanti.
Jutaan tahniah buat Harimau Malaya yang berjaya mengukir senyuman buat jutaan rakyat Malaysia yang teguh berdiri di belakang pasukan sepanjang kempen Piala Asia berlangsung.