Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif Tiket Madani khusus buat peminat Formula 1 (F1) di Malaysia.
Inisiatif itu dibuat selepas beliau menerima maklum balas daripada orang ramai bahawa harga tiket untuk perlumbaan berprestij itu agak tinggi.
Susulan itu, Malaysia mencapai persetujuan dengan penganjur perlumbaan dari Bahrain untuk merealisasikan inisiatif berkenaan. Anwar berharap inisiatif ini dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk saingan F1.
“Beberapa minggu lalu, saya maklumkan bahawa Kerajaan sedang pertimbang penjualan Tiket Madani sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 Oktober ini.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain, Kerajaan sukacita mengumumkan Tiket Madani khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara.
“Moga inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Formula 1 secara langsung di Sepang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Butiran lanjut tentang Tiket Madani bakal dikongsikan SIC dalam masa terdekat. Grand Prix (GP) Bahrain diadakan di Sepang dari 2 hingga 4 Oktober ini susulan ketegangan di Asia Barat.
Ketegangan yang tercetus di rantau berkenaan menyebabkan saingan GP Bahrain dipindahkan ke Sepang. Sepang pernah menjadi tuan rumah perlumbaan F1 dari 1999 hingga 2017.
Sebelum ini, penganjur perlumbaan, Bahrain International Circuit sudah mengumumkan senarai harga tiket yang dijual untuk perlumbaan tersebut di laman sesawang rasmi mereka. Difahamkan jualan tiket untuk Sepang laku bak pisang goreng panas.